Johor Southern Tigers menjuarai gelaran pertama mereka dalam Major Basketball League Malaysia (MBL) 2024/25 selepas mencatatkan kemenangan 83-66 ke atas Penang Sunrise Youngsters dalam perlawanan kedua aksi final, malam tadi.

Kejayaan tersebut sekali gus menyaksikan Johor Southern Tigers menamatkan siri dengan kemenangan 2-0.

kuih raya
HYPE
Dari Dapur Nenek Ke Dapur Moden: Kuih Raya Tradisi Dengan Elemen Inovatif
Baca lagi →

Baca Juga:

Kemenangan ini juga turut menamatkan penantian mereka selepas dua musim berturut-turut Tigers menamatkan saingan sebagai naib juara.

Jabari Carl Bird muncul wira untuk Johor Southern Tigers dengan sumbangan 23 mata, 8 ‘rebound’, dan 5 ‘steal’, manakala Anigwe menambah 16 mata dan 13 ‘rebound’.

Manakala, John Wong Khai Chiek turut memberi impak besar buat pasukan juara itu dengan 13 mata.

Bagi Penang Sunrise Youngsters, Frederick Lish mencatatkan 18 mata dan 6 bantuan, sementara Jayson Lee Shu Wen dan Yevgen Sakhniuk masing-masing menyumbang 13 dan 12 mata.

Johor Southern Tigers Tamatkan Penantian, Muncul Juara Major Basketball League Malaysia 2024/25
Pemain Johor Southern Tigers meraikan kejuaraan pertama mereka dalam MBL bersama penyokong setia.

Skuad Tigers sudah pun meletakkan asas dalam merintis kejayaan manis itu selepas meraih kemenangan 94-81 ke atas Youngsters dalam perlawanan akhir pertama pada Khamis lalu.

Dalam perlawanan kedua yang penuh mendebarkan, stadium MABA yang penuh sesak dengan sorakan padu penyokong kedua-dua pasukan menyaksikan Tigers menguasai permainan sejak awal.

Mereka mendahului 25-15 pada penghujung suku pertama dan menambah kelebihan itu kepada 50-38 pada separuh masa.

Walaupun Youngsters cuba bangkit pada suku ketiga dengan mengurangkan jurang kepada lima mata, Tigers bertindak balas dengan penuh ketenangan.

Gabungan jaringan yang tepat pada masanya dan pertahanan yang kukuh membolehkan mereka mengambil semula kawalan permainan dan mendominasi suku keempat, menafikan percubaan Youngsters untuk merubah keputusan.

Kemenangan bersejarah ini merupakan satu pencapaian penting bagi Johor Southern Tigers, mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam sejarah MBL serta kancah bola keranjang tanah air dan turut membuka lembaran baharu bagi kejayaan pasukan ini.