Ketua pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Jordi Amat menyuarakan rasa tidak puas hati beliau mengenai permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 pada 8 Disember ini.

Bercakap dalam sidang media sebelum perlawanan, Jordi berharap keadaan padang akan bertambah baik menjelang perlawanan akhir esok.

Baca Juga:

“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Kami akan cuba bermain dengan cara kami. Semua pihak perlu fokus kerana esok adalah satu lagi perlawanan besar.

Jordi Amat
Sumber Gambar: TMJ

“Saya tidak sabar untuk beraksi di stadium ini (SNBJ). Saya harap keadaan padang bertambah baik kerana secara jujurnya saya tidak berpuas hati dengan keadaan padang,” kata Jordi Amat.

Pengendali JDT, Esteban Solari enggan terlalu memikirkan isu padang SNBJ dimana beliau menegaskan pemainnya sentiasa bersedia untuk beraksi tanpa mengira kualiti padang.

“Pasukan saya bersedia untuk beraksi di mana-mana padang. Kami mempunyai motivasi yang tinggu kerana mempunyai mentaliti untuk memenangi trofi.

“Esok akan menjadi satu perlawanan yang sukar untuk kami. Apa saja keadaan padang, kami bersedia untuk menampilkan persembahan terbaik,” kata Esteban.

Bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku ke atas padang, JDT dan Terengganu tidak dibenarkan untuk menjalani latihan sehari sebelum final di SNBJ.

Kedua-dua pasukan akan menjalani sesi latihan di Stadium KLFA, Cheras dimana Terengganu akan berlatih pada sebelah petang manakala JDT akan berlatih di sebelah malam.

JDT dalam misi untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu sekaligus meraih trofi keempat musim ini manakala Terengganu mencari trofi Piala Malaysia pertama sejak kali terakhi menjulang kejuaraan pada 2001.