Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka bidaan bagi nombor pendaftaran istimewa (NPI) bermula huruf M diikuti nombor dan berakhir sekali lagi dengan huruf M sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata bidaan itu dibuka mulai Khamis ini melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid).

Baca Juga:

Sumber Gambar: FB JPJ

“NPI yang dimaksudkan ialah tanda indeks prefiks M di hadapan dan sufiks M di belakang iaitu siri M (nombor) M.

“Tanda indeks nombor istimewa ini dipilih dengan membawa maksud dan lambang Malaysia Merdeka sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.

Nombor pendaftaran istimewa M….M ini bermaksud Malaysia Merdeka atau Malaysia Madani.

Loke berkata, tarikh tutup bidaan nombor pendaftaran istimewa itu adalah pada 4 September dan tarikh keputusan akan diumumkan pada keesokannya.

Beliau turut menyatakan bahawa kaedah penawaran bidaan itu adalah tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang ditetapkan melalui Sistem JPJeBid.

Harga bidaan menerusi JPJeBid adalah mengikut harga minimum ditetapkan iaitu bagi nombor bernilai utama bermula daripada RM20,000, nombor menarik (RM3,000), nombor popular (RM800) dan nombor biasa (RM300).

Mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida, mesti didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 13 bulan dari tarikh keputusan bidaan rasmi dikeluarkan.

Beliau juga berharap dapat menjana pulangan yang tinggi kepada kerajaan menerusi bidaan ini. Sebelum ini, bidaan nombor pendaftaran FF telah memperlihatkan hasil pulangan sebanyak RM34.2 juta kepada JPJ.