Perkhidmatan My E.G. Sdn. Bhd. dan Zetrix AI Berhad di bawah Kumpulan MYEG sebagai Ejen Pemungut bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan digantung berkuat kuasa mulai jam 12.01 pagi, 5 Oktober 2026.
Menurut kenyataan rasmi JPJ, keputusan pengantungan ini dibuat setelah mengambil kira tahap pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian yang ditetapkan, serta kedudukan obligasi (tanggungjawab) yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat berkenaan.
Ekoran tindakan ini, semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan melalui saluran Kumpulan MYEG tidak lagi akan beroperasi mulai tarikh berkenaan.
Urusan Awam Berjalan Seperti Biasa Melalui Saluran Alternatif
Walau bagaimanapun, JPJ memberi jaminan bahawa urusan dan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai akan terus berjalan seperti biasa menerusi saluran rasmi dan alternatif yang sedia ada.
Orang ramai boleh melaksanakan pelbagai urus niaga berkaitan melalui saluran berikut:
Pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM): Kaunter JPJ, Aplikasi MyJPJ (persendirian & e-hailing), Portal Awam JPJ (persendirian & e-hailing), Kios JPJ (persendirian), Kaunter Mobile JPJ (persendirian & perdagangan), Pejabat Pos (persendirian), dan Puspakom (persendirian & perdagangan kategori De-controlled).
Pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (CDL): Kaunter JPJ, Aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, Kios JPJ, Kaunter Mobile JPJ, dan Pejabat Pos
Permohonan Lesen Memandu Malaysia (LDL): Kaunter JPJ, Aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, Kios JPJ, dan Kaunter Mobile JPJ.
Semakan & Pembayaran Saman: Kaunter JPJ, Aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, Kios JPJ, dan Kaunter Mobile JPJ.
Pertukaran Hak Milik: Kaunter JPJ, Kios JPJ (motosikal persendirian individu warganegara), Portal Awam JPJ (persendirian individu warganegara & persendirian syarikat), serta Syarikat eAuto (Sistem Tukar Hak Milik Sementara & eSerahan Tukar Hak Milik).
Status Ujian Undang-Undang Berkomputer (KPP01) & Saman Warganegara Asing
Bagi tempahan Ujian Undang-Undang Berkomputer (KPP01) yang telah dibuat melalui saluran MYEG sebelum 5 Oktober 2026, ujian tersebut masih dibenarkan dan boleh diteruskan seperti biasa.
Walau bagaimanapun, bagi tempahan baharu bermula 5 Oktober 2026, urusan tempahan dan pelaksanaan ujian hendaklah dibuat menerusi Pusat Ujian KPP yang disediakan di Institut Memandu di seluruh negara.
Manakala bagi pembayaran saman yang melibatkan bukan warganegara Malaysia di pintu masuk sempadan Malaysia–Singapura, kemudahan pembayaran akan disediakan melalui Unit Mobile JPJ yang ditempatkan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor, bermula jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam.