Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli memaklumkan agensi tersebut sudah melaksanakan pemberian nombor giliran tanpa had sepanjang waktu operasi di semua pejabat di seluruh negara sejak 13 Januari lalu.

Menurut beliau keputusan itu dibuat susulan maklum balas orang ramai berhubung situasi nombor giliran ‘habis awal’ walaupun waktu operasi masih berbaki, petik Berita Harian.

“JPJ ingin menegaskan bahawa pendekatan baharu ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan jabatan dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih responsif, telus dan berorientasikan pelanggan.

“Situasi nombor giliran habis sebelum ini bukanlah disebabkan penutupan awal kaunter, sebaliknya berdasarkan penetapan had kapasiti harian mengikut keupayaan sebenar operasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas beliau lagi, penetapan had giliran sebelum ini dibuat berdasarkan keupayaan sumber manusia, tempoh masa perkhidmatan dan jenis urusan yang memerlukan pemeriksaan serta pengesahan fizikal.

“Bermula 13 Januari lalu, semua pejabat JPJ melaksanakan pemberian nombor giliran tanpa had sepanjang waktu operasi kaunter.

“Waktu operasi pada hari Isnin dan Jumaat adalah daripada jam 7.45 pagi hingga 5.30 petang, manakala pada hari Selasa hingga Khamis, waktu operasi adalah daripada jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang,” katanya.

Namun pelanggan masih perlu mendapatkan nombor giliran melalui sistem JPJeQ.

Sumber