Bermula 1 Januari depan, hanya individu atau wakil syarikat yang berdaftar sebagai perantara dan mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja dibenarkan menjalankan urus niaga bagi pihak pelanggan di pejabat dan cawangan JPJ di seluruh negara.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah berkenaan dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan perantara dapat dikawal selia dengan lebih sistematik, telus dan berintegriti, petik Free Malaysia Today.

Menurut beliau, pendaftaran sebagai perantara berdaftar JPJ akan mula dibuka pada 1 November ini menerusi platform dalam talian yang disediakan oleh jabatan berkenaan.

“Setiap perantara berdaftar yang diluluskan akan diterbitkan dokumen pengenalan digital rasmi lengkap dengan nombor siri yang sah untuk tempoh dua tahun, tertakluk kepada syarat dan peraturan jabatan,” katanya dalam satu sidang media selepas mengadakan lawatan kerja bagi meneliti projek menaik naik pejabat JPJ Perlis, hari ini.

Aedy bagaimanapun menegaskan bahawa pendaftaran berkenaan tidak bermakna JPJ mempunyai sebarang ikatan, kerjasama atau hubungan perniagaan dengan mana-mana pihak perantara.

Jelasnya, kelulusan pendaftaran itu juga bukan satu bentuk sokongan, perakuan mahupun jaminan daripada pihak jabatan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan oleh perantara terbabit.

“JPJ tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kerugian, penipuan, caj tambahan atau pertikaian yang timbul daripada urus niaga peribadi antara pelanggan dan perantara berdaftar.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan saluran rasmi jabatan seperti aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kaunter perkhidmatan serta saluran rasmi lain bagi mengelakkan risiko yang tidak diingini,” tambah beliau.