Tular di media sosial sejak semalam, satu video berdurasi 34 saat yang mendakwa kemalangan maut di Kilometer 85.5, Jalan Kota Bharu–Machang–Jeli berpunca daripada tindakan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengejar sebuah lori.

Namun, pihak JPJ Kelantan tampil menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan ia tidak benar.

Menurut Pengarah JPJ Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah, ketika kejadian berlaku, anggota mereka sebenarnya sedang menjalankan rondaan rasmi sempena Ops Hari Raya Aidilfitri 2026 dan mematuhi segala prosedur yang ditetapkan.

Beliau menafikan sekeras kerasnya dakwaan bahawa, tindakan JPJ mengejar lori punca kemalangan maut.

Dipetik daripada sumber Utusan Online, Misuari berkata: “JPJ Kelantan memandang serius penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh mengelirukan orang ramai dan menjejaskan reputasi jabatan.”

“Kenderaan jabatan pada ketika itu sedang melaksanakan rondaan rasmi dan bukan terlibat dalam sebarang aksi mengejar seperti didakwa,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau lagi, siasatan lanjut berhubung insiden tersebut kini berada di bawah kendalian Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai.

“JPJ meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga siasatan lengkap dijalankan.”

Dalam masa sama, pihak JPJ turut menzahirkan rasa simpati kepada mangsa serta keluarga yang terlibat dalam kejadian tersebut.

“Semoga roh mangsa dicucuri rahmat dan kepada yang cedera, didoakan agar segera sembuh,” tuntasnya.

Terdahulu, kemalangan yang berlaku sekitar jam 4.45 petang itu meragut nyawa seorang lelaki berusia 25 tahun selepas mengalami kecederaan parah. Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jeli.

Insiden ini turut mendapat perhatian ramai memandangkan mangsa merupakan anak kepada seorang editor kanan di Astro Awani.

Namun JPJ meminta orang ramai lebih bijak dalam menapis segala informasi yang mereka baca atau terima daripada media sosial.