Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakar rekod baharu apabila kutipan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri ‘H’ berjaya mencecah RM91.2 juta, sekali gus menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records (MBOR).
Pengiktirafan tersebut diberikan bagi kategori ‘Highest Cumulative Bid Value for a Vehicle Registration Number Series‘, susulan sambutan luar biasa yang direkodkan menerusi platform digital JPJeBid, petik hantaran Facebook JPJ.
Sepanjang tempoh bidaan berlangsung, sebanyak 8,223 nombor pendaftaran berjaya diperuntukkan dengan penyertaan seramai 34,664 pembida dari seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut, nombor pendaftaran ‘H1’ mencatatkan nilai bidaan tertinggi pada paras RM10.77 juta.
Sebahagian daripada perolehan hasil Siri ‘H’ ini dimanfaatkan secara langsung kepada kumpulan sasar melalui penyaluran Bantuan Khas Kewangan RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa, dan bas sekolah di seluruh negara.
Kejayaan ini membuktikan keberkesanan inisiatif digitalisasi jabatan berkenaan dalam mengoptimumkan penjanaan hasil negara, selain memastikan pulangan dana tersebut disalurkan semula bagi memperkasa kebajikan rakyat.