Dalam satu operasi penguatkuasaan khas yang menyasarkan kenderaan mewah baru-baru ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyita sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis BMW X5 mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan.
Kenderaan tersebut ditahan di Stesen Penguatkuasaan JPJ Karak selepas pemeriksaan mendapati cukai jalan dan perlindungan insuransnya telah tamat tempoh sejak November 2025, petik Berita Harian.
Dalam masa sama pihak berkuasa telah menahan sebuah Mazda Roadster mengikut Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan.
Kenderaan tersebut ditahan berikutan cukai jalan dan perlindungan insuransnya yang telah tamat tempoh selama dua hari.
Pemandu kenderaan tersebut telah dihalang daripada meneruskan perjalanan dan diarahkan untuk memperbaharui cukai jalan secara terus di lokasi kejadian sebelum kenderaan itu dilepaskan.
Operasi Bersepadu 4 Agensi
Tindakan tegas ini merupakan sebahagian daripada operasi bersepadu di plaza tol masuk Genting Highlands yang dijalankan dari jam 5 pagi hingga 12 tengah hari oleh pelbagai agensi.
Seramai 66 anggota penguat kuasa telah dikerahkan untuk melakukan pemeriksaan ke atas 215 buah kenderaan.
Daripada jumlah tersebut, 102 kenderaan telah dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan trafik serta teknikal, dan sebanyak 126 notis saman P22 telah dikeluarkan oleh JPJ.
Selain kes BMW X5 tersebut, pihak berkuasa turut merekodkan pelbagai kesalahan utama yang lain di kalangan pemandu kenderaan mewah, antaranya termasuklah 39 kes pemandu tanpa lesen kompeten, 31 kes cukai jalan tamat tempoh, dan 26 kes beroperasi tanpa perlindungan insurans.
Operasi bersepadu ini turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Sepanjang operasi berlangsung, PDRM telah mengeluarkan 84 saman, pihak JAS telah mengeluarkan dua kompaun hasil pemeriksaan ke atas 26 kenderaan, dan AADK telah mengesan dua individu yang positif dadah hasil saringan ke atas 35 individu