Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Hamidi Adam menyatakan pihak JPJ telah menyita sebuah Honda Civic Type R dipandu seorang etnik Rohingya atas pelbagai kesalahan dalam Ops Khas LUXURY di ibu kota sejak Selasa hingga semalam.
Kereta sport itu antara 23 kenderaan mewah yang disita dalam operasi berkenaan, petik Harian Metro.
“Antara kenderaan yang disita ialah sebuah Honda Civic Type R yang dipandu oleh seorang etnik Rohingya.
“Kenderaan berkenaan dikesan bergerak secara berkonvoi bersama beberapa kenderaan lain di Plaza Tol SPE sebelum ditahan untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu berkenaan tidak memiliki lesen memandu yang sah, kenderaan itu kemudian disita mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, lelaki berkenaan mendakwa dirinya sebagai pekerja kepada pemilik kenderaan tersebut, petik Sinar Harian.
Pada ketika itu majikannya memandu Nissan GT-R dan dia membenarkan pekerja terbabit membawa Honda Civic Type R
Kenderaan tersebut disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.