Tindakan berani mati seorang pemandu memotong kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membawa padah apabila kereta jenis Volvo yang dipandunya akhirnya disita dalam satu operasi khas, Ops Luxury, yang dijalankan oleh JPJ Cawangan Baling.

Pemandu berkenaan dipercayai melakukan tindakan tersebut tanpa menyedari bahawa kenderaan yang dibawanya mempunyai kesalahan besar, petik hantarna Facebook JPJ Negeri Kedah.

Hasil pemeriksaan lanjut pihak berkuasa mendapati kenderaan mewah tersebut telah melakukan dua kesalahan utama iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan tiada perlindungan insurans yang sah.

Ekoran daripada kesalahan tersebut, kenderaan Volvo itu telah disita di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibawa ke Stesen Penguatkuasa JPJ Kuala Ketil untuk tindakan lanjut.

“Pihak JPJ mengingatkan semua pemilik kenderaan, tanpa mengira status kenderaan mewah atau biasa, supaya sentiasa memastikan LKM dan insurans mereka diperbaharui.

“Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja berdepan risiko saman dan sita, malah bakal menyusahkan diri sendiri untuk menanggung segala kos kerugian sekiranya terlibat dalam kemalangan,” kata JPJ Kedah.