Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka berjaya menenangkan seorang pemandu yang bertindak mengugut untuk membakar trak pikap selepas dimaklumkan kenderaan itu akan disita.

Memetik Harian Metro, pemandu berusia 29 tahun itu mulanya memberi kerjasama baik kepada anggota penguat kuasa JPJ semasa ditahan di Lebuh Rembia, Alor Gajah, kelmarin.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, pemeriksaan mendapati lelaki terbabit melakukan beberapa kesalahan serius termasuk tidak memiliki lesen memandu yang sah.

“Makluman awal mendapati cukai jalan pacuan empat roda berkenaan sudah luput dan tidak diperbaharui selama lapan tahun.

“Pemeriksaan lanjut turut mengesahkan pemandu terbabit tidak memiliki lesen memandu menyebabkan kita mengeluarkan saman dan menyita kenderaan itu,” katanya semalam.

Pemandu bertindak agresif

Kemudian lelaki itu menghubungi rakannya untuk mendapatkan petrol dengan tujuan membakar kenderaan.

“Keadaan menjadi semakin tegang apabila seorang penumpang yang juga rakannya turut campur tangan mengugut dan mendakwa dirinya bekas tahanan.

“Namun keadaan berjaya dikawal anggota JPJ yang menggunakan pendekatan profesional dan berhemah.

“Anggota JPJ berjaya meredakan kemarahan kedua-dua individu terbabit sebelum mereka akhirnya akur dengan tindakan diambil,” katanya.

Sumber