Menjadi kebiasaan orang ramai untuk membeli juadah di bazar Ramadhan untuk berbuka puasa bersama keluarga tersayang.

Kelihatan sejumlah penjaja di Bazar Ramadhan sedia menawarkan pelbagai aneka juadah yang pasti mengiurkan ramai. Namun, dengan kenaikan kos bahan mentah, dijangkakan berlaku kenaikan harga juadah yang dijual juga.

Baru-baru ini, seorang wanita telah memuat naik satu video memperlihatkan juadah shawarma yang dibelinya dari Bazar Ramadan di Pulau Pinang.

Harga RM10 tapi hampeh

Dengan harga RM10, dia sangat kecewa dengan kuantiti kandungan isi ayam di dalam roti shawarma itu yang terlalu sedikit, sayur pun ala kadar dan juga sos yang langsung tidak kelihatan padanya.

Jangkaan awalnya dengan harga sebegitu dapat penawaran rasa yang premium langsung meleset selepas persembahan shawarma itu yang mana kelihatan sangat kering apatah lagi isi kandungan yang tidak sepadan dengan harga yang dikenakan.

Wanita itu berkongsi dia sedia membelinya kerana telah diperlihatkan contoh shawarma dengan kuantiti yang lumayan tetapi didapati jauh beza sekali dengan bungkusan yang dibelinya apabila mahu dimakan ketika berbuka puasa.

@fara_zaini

Untung besaq uii bulan ni 🤭

♬ Funny Song – Bruno Portinho Trilhas para filmes

Video berdurasi 13 saat itu langsung menjadi perhatian dan kini dihujani komentar dari netizen.

Selain mengecam tindakan penjaja shawarma yang tidak berlaku jujur itu, masing-masing berkongsi pengalaman sendiri yang mana sangat kecewa dengan pembelian juadah di Bazar Ramadan pada kali ini.

Seorang netizen berkongsi yang dirinya telah membeli takoyaki dengan isi sotong berharga RM6 tetapi langsung tidak menemui isinya apabila dikunyah. Hanya terasa tepung semata-mata sewaktu dimakan.

Ada juga yang berkongsi telah membeli roti john yang rentung dan sebahagian lain mendakwa hanya terisi sayur yang banyak tetapi isi daging terlalu sedikit.

Seorang netizen lagi turut menceritakan bagaimana sup perut yang dibelinya terasa seperti kunyah tayar basikal dek kerana terlalu liat barangkali.

Selain makanan, seorang netizen berkongsi yang kakaknya telah terbeli air soya yang sudah basi langsung terpaksa dibuang begitu sahaja selepas itu.

Ramai berpendapat juadah yang dijual asal boleh ini boleh jadi sebab penjaja mahu ambil keuntungan mudah atau menjadi ‘bidan terjun’ sebagai penjaja di bulan Ramadan.

Selain itu, mereka turut menyimpulkan rata-rata juadah yang dijual tidak sepadan dengan harga jualan yang tinggi itu.