Bekas bintang Manchester United dan Chelsea, Juan Mata mengesahkan bahawa dia tidak akan kembali menyertai Melbourne Victory untuk musim A-League Men 2026-27.
Walaupun pemain tengah berpengalaman itu meninggalkan pentas bola sepak di Australia, beliau bagaimanapun masih belum mengumumkan persaraan secara rasmi daripada kancah bola sepak profesional.
Victory secara rasmi mengesahkan bahawa Mata tidak akan kembali beraksi dalam kempen A-League Men 2026/27. Pemain tengah menyerang berusia 38 tahun itu memilih untuk menilai langkah seterusnya dalam kariernya dari Eropah tanpa mengumumkan persaraan secara rasmi.
Namun, penglibatan maestro Sepanyol itu bersama kelab berkenaan akan diteruskan di luar padang menerusi pegangan saham dalam Victory serta peranannya sebagai pengerusi jawatankuasa bola sepak yang baru ditubuhkan.
Mata meluahkan penghargaan mendalam kepada seluruh kelab menerusi satu kenyataan penuh emosi selepas menikmati sambutan hangat sepanjang musim lalu.
Mengimbas kembali perjalanan bermaknanya di Australia, bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu berkata:
Tugasan Baharu Juan Mata Bersama Melbourne Victory
“Saya menikmati setiap minit dan begitu menghargai segala yang kami capai musim lalu. Saya kembali jatuh cinta dengan bola sepak di sebuah tempat yang begitu istimewa, dalam sebuah bandar yang hebat dan menjadi satu keistimewaan untuk saya anggap sebagai rumah.”
“Terima kasih kepada rakan sepasukan, barisan staf dan Lembaga Pengarah kerana menyambut saya dengan begitu baik, memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi serta membolehkan saya memberikan yang terbaik untuk kelab yang luar biasa ini, termasuk seluruh anggota dan penyokong hebat yang sokongan mereka masih saya rasai setiap hari.”
“Sekarang, saya teruja untuk melangkah ke bab seterusnya, sambil kita bersama-sama percaya terhadap masa depan bola sepak Australia dan memberi inspirasi kepada generasi pemain serta penyokong Melbourne Victory yang akan datang,” ujar Juan Mata menurut sumber laporan Goal.