JUICE Malaysia, portal hiburan dan budaya pop yang dikenali dengan gaya edgy dan sentuhan uniknya, kini memperluaskan pengaruhnya dengan memperkenalkan segmen baharu dalam Bahasa Melayu (BM) yang dikenali sebagai ‘Ikat Tepi’.

Langkah ini dilihat sebagai strategi penting dalam usaha penerbitan ini untuk mencapai khalayak lebih luas di tengah-tengah perkembangan dunia digital Malaysia.

Dari sebuah majalah percuma yang menonjolkan street culture tempatan sejak penubuhannya pada tahun 2002, JUICE Malaysia kini berkembang menjadi platform dalam talian yang terus relevan.

Dengan pengumuman ini, ‘Ikat Tepi’ dilihat sebagai satu langkah strategik untuk lebih dekat dengan peminat setia mereka dalam Bahasa Kebangsaan.

“JUICE sentiasa memberi ruang kepada semua lapisan masyarakat,” kata Ben Liew, Ketua Editor JUICE Malaysia. “Kami merasakan bahawa dengan adanya bahagian BM, ini merupakan cara terbaik untuk terus menarik perhatian peminat kami, terutamanya dengan peningkatan artis-artis urban tempatan yang semakin selesa menggunakan BM sebagai medium ekspresi mereka.”

‘Ikat Tepi’ merujuk kepada bungkusan nasi lemak yang diikat ringkas di bahagian tepi, yang bukan sahaja simbol makanan kegemaran rakyat Malaysia tetapi juga melambangkan penyampaian yang mudah, tanpa bahasa rumit.

Sama seperti nasi lemak yang selalu dinikmati semua lapisan masyarakat, JUICE Malaysia ingin menawarkan kandungan yang mudah untuk dinikmati.

Dengan ‘Ikat Tepi’, pembaca BM akan terus menikmati berita dan ulasan mengenai hiburan terkini, acara-acara lokal, tip-tip fesyen, serta meneroka budaya Malaysia yang unik.

Peralihan ini sangat sesuai dengan trend di mana artis-artis tempatan urban semakin memilih Bahasa Melayu untuk mengekspresikan karya mereka.

Jika anda mahu mengikuti semua kandungan JUICE Ikat Tepi dalam BM, anda boleh klik di sini. Atau jika anda lebih selesa dengan kandungan asal dalam bahasa Inggeris, klik di sini.