Pemain pertahanan skuad kebangsaan Indonesia, Justin Hubner menganggap pasukan negaranya sekarang tidak berada sama taraf dengan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika media Malaysia memuat naik satu ciapan di laman X dengan mengatakan Australia sepatutnya belajar dari Malaysia tentang bagaimana untuk menewaskan skuad Garuda di Stadium Gelora Bung Karno.
Baca Juga:
- Penyerang Indonesia Sertai Kelab Australia
- Tiada Darah Indonesia, Ini Faktor Maarten Paes Boleh Beraksi Bersama Garuda
- Media Indonesia ’Claim’ Ferdy Druijf Mahu Beraksi Bersama Skuad Garuda
Justin Hubner kemudiannya memberi komen mengenai cadangan yang diberikan oleh media Malaysia itu dimana pemain pertahanan Cerezo Osaka ini menyifatkan ada negara yang tidak setaraf dengan Indonesia.
“Sesetengah negara perlu menerima hakikat yang mereka tidak lagi berada sama taraf dengan Indonesia,” katanya.
Sebagai konteks, Malaysia pernah menewaskan Indonesia di laman keramat mereka ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan keputusan 3-2.
Sekiranya kita melihat kepada prestasi semasa yang ditampilkan oleh Indonesia dan Malaysia ketika ini, memang terdapat jurang perbezaan antara kedua-dua pasukan.
Indonesia yang dibimbing oleh Shin Tae-yong menjadi satu-satunya pasukan dari rantau Asia Tenggara yang beraksi dalam kelayakan Piala Dunia 2026.
Baru-baru ini, skuad Garuda berjaya mencuri dua mata ketika menentang Arab Saudi dan Australia, dua pasukan yang sentiasa beraksi dalam temasya Piala Dunia sebelum ini.
Bagi Malaysia pula, skuad Harimau Malaya akan beraksi dalam kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadualkan berlangsung pada tahun hadapan.
Skuad kendalian Pau Marti Vicente mempunyai kelebihan dari segi kejuaraan dimana Malaysia baru-baru ini memenangi kejohanan Pestabola Merdeka 2024 selepas menewaskan Lebanon dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.