Ketika ribuan ekspatriat dan pesara di Thailand tiba-tiba mendapati kediaman yang dibeli menggunakan wang simpanan seumur hidup rupa-rupanya bukan milik mereka di sisi undang-undang, Malaysia kini pantas muncul sebagai destinasi pilihan utama pelabur hartanah kaya di rantau Asia Tenggara.

Apa Sebenarnya Berlaku di Thailand?

Kemelut di negara Gajah Putih itu tercetus apabila kerajaan melancarkan operasi besar-besaran bagi membanteras taktik syarikat “penama” (*nominee*) haram.

Memetik dari laporan terbaharu SCMP, selama berdekad-dekad, ramai warga asing dipujuk oleh peguam, akauntan, dan pemaju untuk membeli tanah melalui syarikat proksi yang meletakkan warga tempatan sebagai pemegang 51 peratus saham, sedangkan individu terbabit langsung tidak mengeluarkan modal mahupun mempunyai kawalan kewangan.

Kini, struktur tersebut dibongkar secara agresif apabila lebih 2,040 syarikat berkaitan warga asing dan 140 akauntan disiasat, malah seorang akauntan didapati memegang saham dalam 212 syarikat bernilai AS$7.3 juta.

Walaupun sasaran asal operasi ini adalah untuk mengekang penjenayah asing yang mencuci wang haram hasil sindiket penipuan dan dadah, tindakan tegas itu akhirnya turut memerangkap ribuan pembeli biasa.

Ramai pemilik rumah terkejut apabila menyedari kontrak pajakan lanjutan sehingga 60 tahun yang dijanjikan, atau status hak milik mutlak yang dipegang selama ini, sebenarnya tidak sah di sisi undang-undang Thailand.

Kesan domino daripada penguatkuasaan ini amat meruncing sehingga mencetuskan panik dalam pasaran hartanah.

Menurut penasihat perundangan ekspatriat, Brian Ramsden, golongan pesara kini dibelenggu ketakutan dan tidak dapat tidur malam kerana berdepan risiko aset dirampas atau dipaksa menjual kediaman mereka dalam tempoh 12 bulan.

Situasi terdesak itu menyebabkan pusat peranginan seperti Pattaya mula dibanjiri jualan lambak hartanah pada harga lelongan yang jauh lebih murah.

Pada masa yang sama, pemaju tempatan yang selama ini bergantung kepada jualan awal (*off-plan*) turut terhimpit dan berisiko jatuh muflis apabila permintaan pembeli asing terhenti secara mendadak.

Gelombang pengetatan pemilikan hartanah warga asing ini juga tidak terhad di Thailand semata-mata.

Di Bali, Indonesia, pihak berkuasa mula menyekat penukaran status tanah pertanian yang dikaitkan dengan sindiket proksi serupa, manakala Vietnam pula sedang merangka undang-undang baharu bagi melarang warga asing membeli kediaman bertanah seperti vila.

Malaysia Mengambil Kesempatan: Hak Milik Bebas & Selamat

Jutawan Asing Mula ‘Lari’ Dari Thailand, Malaysia Jadi Pilihan Utama Miliki Hartanah Secara Sah

Berbeza dengan ketidaktentuan perundangan di negara jiran, Malaysia menawarkan jaminan hak milik yang jelas sekali gus meletakkannya di kedudukan terbaik untuk menarik aliran masuk modal luar.

Melalui sistem perundangan sedia ada, warga asing dibenarkan membeli hartanah kediaman termasuk tanah pegangan bebas (*freehold*) secara sah atas nama sendiri tanpa perlu bergantung kepada proksi, tertakluk kepada had harga minimum serta kelulusan pihak berkuasa negeri.

Jaminan keselamatan ini terbukti membuahkan hasil apabila program Malaysia My Second Home (MM2H) berjaya menarik 7,650 permohonan antara Oktober 2024 hingga Ogos 2026.

Menurut kerajaan, inisiatif tersebut menjana nilai ekonomi mencecah RM8.85 bilion, dengan lebih RM5 bilion daripadanya disumbangkan melalui pembelian hartanah secara langsung.

Selain faktor pemilikan yang terjamin, Presiden Persatuan Perunding MM2H, Anthony Liew turut menyifatkan rangkaian sekolah antarabangsa di Malaysia sebagai “batu loncatan” penting yang menarik minat keluarga ekspatriat untuk menetap sambil merancang masa depan pendidikan anak-anak mereka.

Kos Keselamatan yang Semakin Tinggi

Namun, perlindungan hak milik yang kukuh di Malaysia hadir bersama tanda harga yang jauh lebih eksklusif.

Di bawah syarat baharu MM2H yang disemak semula pada 2024, pemohon diwajibkan membeli hartanah bernilai sekurang-kurangnya RM600,000 bagi kategori Silver sehingga RM2 juta bagi kategori Platinum, selain perlu meletakkan simpanan deposit tetap yang mencecah AS$1 juta.

Bagi pelabur hartanah kaya dari China, Taiwan, Singapura, dan Amerika Syarikat, jaminan keselamatan jangka panjang ini dianggap cukup berbaloi.

Sebaliknya, kenaikan kos yang drastik itu turut memberi kesan sampingan apabila golongan pesara berpendapatan sederhana dari Barat seperti pesara Amerika Syarikat, Andrew Taylor yang menyertai program itu pada 2014 kini mengakui tidak lagi mampu memenuhi syarat semasa dan terpaksa melupakan impian untuk bersara di Malaysia.