Seorang jutawan kripto warga Rusia dan isterinya telah diculik serta dikerat selepas diperdaya untuk berjumpa dengan ‘pelabur’ di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Roman Novak, 38, dan isterinya, Anna, kali terakhir dilihat sebulan lalu ketika mereka memandu untuk bertemu individu yang disangka sebagai pelabur di kawasan peranginan pergunungan Hatta, Dubai, petik Daily Mail.

Baca Juga:

Pasangan yang berpangkalan di Dubai itu, yang sering mempamerkan gaya hidup mewah dengan kereta sport dan jet peribadi di media sosial, dilaporkan telah menjadi mangsa pemerasan melibatkan mata wang kripto, menurut sumber pihak berkuasa.

Difahamkan pasangan itu telah dibawa ke Hatta oleh pemandu peribadi mereka, yang menghantar mereka ke kawasan parkir berhampiran tasik sebelum mereka berpindah ke kenderaan lain untuk meneruskan perjalanan.

Ketika itu, Novak sempat menghantar mesej kepada beberapa kenalan melalui telefonnya, menyatakan bahawa dia “terperangkap di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Oman” dan amat memerlukan £152,000.

“Selepas itu, hubungan dengan pasangan muda tersebut terputus,” kata Svetlana Petrenko daripada Jawatankuasa Siasatan Rusia.

Isyarat telefon mereka dikesan selama dua hari di kawasan Hatta, kemudian di Oman dan seterusnya di Cape Town sebelum hilang sepenuhnya pada awal Oktober. Kini dipercayai pembunuh telah mengatur agar telefon mangsa dihidupkan semula bagi mengelirukan pihak penyiasat.

Amaran mengenai kehilangan pasangan glamor itu mula dibangkitkan oleh ahli keluarga mereka di Rusia, sebelum mayat Novak dan isterinya yang telah dikerat ditemui tertanam di kawasan padang pasir di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dilaporkan bahawa dua bekas pejuang dalam perang Putin di Ukraine serta seorang bekas pegawai penyiasat kes pembunuhan kini disyaki menjadi dalang di sebalik penculikan dan pembunuhan kejam pasangan Rusia tersebut.

Tiga suspek warga Rusia telah ditahan di St. Petersburg serta wilayah Stavropol dan Krasnodar selepas pulang dari Dubai. Mereka dikenal pasti sebagai Konstantin Shakht, 53, bekas penyiasat jenayah yang kemudian terlibat dalam penyeludupan dadah; Yury Sharypov, 46; dan Vladimir Dalekin, 45 — kedua-duanya pernah berkhidmat dalam perang di Ukraine sebelum diberhentikan.

Ketiga-tiga mereka dipercayai menyamar sebagai ‘pelabur’ dan selepas menculik pasangan itu, mereka menuntut kata laluan kepada dompet kripto milik Novak.

“Novak tidak melawan — tetapi tiada lagi mata wang kripto dalam akaun tersebut. Dompet itu kosong,” lapor portal Fontanka.

Apabila gagal mendapatkan wang tebusan dari sumber lain, pasangan itu dibunuh dan kemudian dikerat.

“Polis Emiriah menemui kesan darah milik Anna Novak di vila berkenaan, darah dalam kereta sewa, beberapa bilah pisau berhampiran lokasi kejadian, serta sehelai baju-T milik salah seorang suspek yang ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa,” lapor Fontanka lagi.

Ketiga-tiga suspek utama telah direman sehingga 28 Disember. Lima lagi warga Rusia berusia bawah 25 tahun juga dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ngeri ini.

Novak sebelum ini pernah berbangga dengan rangkaian kenalannya yang terdiri daripada tokoh kaya, termasuk Pavel Durov, bilionair pemilik platform media sosial Telegram.

Pada masa dia hilang, Novak sedang disiasat berhubung dakwaan kecurian lebih daripada £38 juta daripada pelabur kripto dengan alasan pembangunan perniagaan.

Menurut laporan Rusia, antara mangsa yang didakwa ialah “ahli perniagaan dari China dan negara-negara Timur Tengah.”

“Dia mahir memperlihatkan dirinya seolah-olah berada pada tahap yang sama dengan Pavel Durov dan para syaikh Arab,” kata akhbar Komsomolskaya Pravda (KP).

“Namun hakikatnya, Novak hanyalah seorang manipulator berbakat yang berjaya meyakinkan orang untuk menyerahkan ratusan juta dolar.”

Dia mengendalikan ‘rangkaian kripto yang pantas dan boleh dipercayai’ melalui aplikasi yang dibangunkan oleh pengaturcara Ukraine.

Menurut laporan Rusia, Novak sebelum ini pernah menjalani hukuman penjara kerana penggelapan.

“Baru-baru ini, pihak berkuasa Rusia telah melakukan pemeriksaan ke atas bursa kripto di Moscow City, bagi mengesan jejak pelaburannya,” lapor KP.

Anak-anak pasangan itu yang menjadi yatim piatu telah dijaga oleh ibu bapa Anna selepas kehilangan mereka.

Sumber