Salah satu hobi yang didapati semakin mendapat sambutan terutamanya di Malaysia adalah mengumpul kad BoBoiBoy.

Apa yang menariknya dengan hobi mengumpul kad permainan sebegini adalah bagaimana sesetengah kad edisi khas yang direka dengan illustrasi yang lebih menarik dan juga efek tambahan sekaligus menjadi dambaan ramai.

Baru-baru ini, seorang netizen telah berjaya menemui satu penyenaraian kad BoBoiBoy edisi terhad yang dijual oleh individu dengan harga tidak masuk akal.

Menerusi tangkap layarnya, kelihatan sekeping kad edisi khas dari pek Fiesta Championship 2024 yang dijual pada harga semahal RM1,700 dan juga menerima ansuran bulanan selama 18 bulan sekitar RM94.88.

Sumber Gambar: Shopee

Memang tidak dinafikan, kad Boboiboy berwarna emas itu dengan illustrasi karakter Maskmara serte efek 3D menjadikan ia lebih istimewa.

Sumber Gambar: Shopee

Malah, kami benar-benar menemui penyenaraian tersebut di platform Shopee dan penjual sedia menawarkan dua kad edisi khas pada harga yang dinyatakan.

Susulan itu, netizen yang berkongsi perkara itu langsung menyoal sama ada harga kad itu sememangnya mahal di dalam pasaran pada ketika ini kepada mereka yang lebih mahir.

“Nak tanya pada otai-otai di sini ini memang harganya sekarang ke di pasaran?”, soalnya kepada pengguna media sosial lain.

Soalan yang dilontarkan lalu disambut dengan pelbagai reaksi dan jawapan dari para pengumpul kad Boboiboy berkenaan.

Sebahagian peminat hobi tersebut meluahkan pendapat yang penawaran harga sebegitu adalah tidak masuk akal walaupun ia berada dalam kategori yang rare.

Bagaimanapun, ada yang merasakan penawaran harga jualan yang tinggi berbalik kepada permintaan dan juga kuantiti kad terbabit di dalam pasaran.

Mana tidaknya, salah seorang peminat lain berkongsi teori yang Kad SR Maskmara ini dipercayai hanya dihasilkan sebanyak 100 keping sahaja daripada 4,800 keping Kad Tournament sewaktu acara kejuaraan di Sunway baru-baru ini.

Kad terbabit bertambah mahal nilainya apabila menjadi rebutan ramai ekoran menjadi salah satu kad strategi terpenting di dalam meta hari ini.

Nampaknya, kad tersebut juga turut dijual secara meluas di laman Carousell dengan harga yang mahal bermula RM750 sehingga RM850 kongsi seorang netizen lain.