Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan melaksanakan kadar tarif air baharu di Pulau Pinang berkuat kuasa pada 1 Julai 2026, berikutan penangguhan selama 12 bulan yang diarahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum ini.
Kenaikan tarif ini direka agar kekal berpatutan. Bagi 82% pengguna domestik yang menggunakan 35 meter padu air atau kurang setiap bulan, kenaikan bil maksimum hanyalah sebanyak RM2.55 sebulan, atau 8.5 sen sehari.
Ini bermakna bil bulanan untuk penggunaan 35 meter padu akan menjadi RM32.50, berbanding RM29.95 sebelum ini, petik kenyataan rasmi PBAPP.
Walaupun terdapat pelarasan, kadar purata domestik Pulau Pinang iaitu RM0.93 per meter padu (bagi 35 meter padu pertama) kekal antara yang terendah di Malaysia dan masih di bawah purata kebangsaan (RM1.12 per meter padu).
Bagi pengguna bukan domestik pula, kenaikan bil maksimum dijangka sekitar RM77.70 sebulan untuk penggunaan 500 meter padu atau kurang.
Tujuan Pelaksanaan Tarif Baharu Air Pulau Pinang
Pelaksanaan kadar baharu ini amat penting bagi menampung kos operasi bekalan air PBAPP yang telah meningkat sebanyak 5% sejak Februari 2024, terutamanya melibatkan bahan kimia, penyelenggaraan, dan pentadbiran.
Selain itu, ia bertujuan membendung penggunaan air domestik yang terlalu tinggi di Pulau Pinang. Pada tahun 2025, penggunaan domestik menyumbang 55.7% daripada jumlah penggunaan purata, dan merekodkan angka tertinggi di Malaysia iaitu 267 liter per kapita sehari (LCD).
Tarif baharu ini disasarkan dapat menggalakkan penjimatan air domestik untuk mencapai sasaran 250 LCD menjelang 2026.
Pelaburan Infrastruktur (WCP 2030)
Melalui pelarasan ini, PBAPP serta PBA Holdings Bhd diunjurkan akan menjana sekitar RM20 juta dalam tempoh enam bulan kedua tahun 2026.
Lebihan dana ini akan dilaburkan semula sepenuhnya sebagai perbelanjaan modal untuk membiayai projek-projek kritikal di bawah Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) demi kelangsungan bekalan air negeri sehingga tahun 2030.
Ini termasuk pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Taman Mengkuang, pengambilalihan tanah bagi LRA Sungai Perai dan LRA Sungai Muda, penyambungan paip dasar laut, serta usaha membesarkan kapasiti LRA Sungai Dua.