Penyanyi dan pelakon, Kael Lean mendedahkan dia sebenarnya sudah memeluk agama Islam sejak 3 Ogos lalu selepas melalui proses pencarian dan mendalami agama itu selama kira-kira tiga hingga empat tahun.
Berdasarkan laporan Oh Bulan!, Kael mengambil sedikit masa sebelum berkongsi berita tersebut kepada umum kerana mahu benar-benar bersedia untuk melalui fasa baharu dalam kehidupannya.
Kael memilih sambutan Maulidur Rasul sebagai waktu yang sesuai untuk mengumumkan perkara tersebut kerana tarikh berkenaan mempunyai nilai sentimental buat dirinya selain menjadi simbolik kepada permulaan baharu.
“Saya dah simpan perkara ini agak lama dan rasa sekarang adalah masa yang sesuai untuk berkongsi. Saya perlukan sedikit masa untuk menyediakan diri sebab ini perkara yang sangat penting bagi saya,” katanya kepada portal tersebut.
Menurut Kael, keputusan untuk kembali kepada Islam hadir selepas dia melalui pelbagai perkara dalam kehidupan sehingga membuatkan dirinya banyak mempersoalkan tentang tujuan hidup, ketenangan hati serta hubungannya dengan Allah.
“Saya percaya kembali kepada Islam adalah satu pengembalian kepada fitrah. Saya masih baharu dan masih belajar, jadi saya tak mahu gambarkan seolah-olah saya tahu semuanya,” tambahnya lagi.
Kael turut menjelaskan bahawa proses mengenali Islam sudah bermula sebelum dia mengenali teman istimewanya, Engku Sulwani.
Katanya, dia sudah menghabiskan masa antara tiga hingga empat tahun untuk mempelajari Islam serta bertanyakan pelbagai persoalan kepada rakan-rakan.
“Sebelum berjumpa dengan Engku pun saya sudah membuat persiapan. Sudah tiga hingga empat tahun saya belajar dan bertanyakan soalan kepada kawan-kawan.
“Hubungan bukan faktor utama, tetapi apabila saya bertemu dengannya, sudah tentu ia menguatkan lagi perjalanan itu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kael kini masih mengikuti proses pembelajaran agama dengan bantuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Dia juga tidak mahu tergesa-gesa dalam memahami tanggungjawab sebagai seorang Muslim dan berharap orang ramai dapat mendoakan agar dirinya terus istiqamah.
“Saya cuma minta orang ramai doakan yang terbaik, doakan saya istiqamah dan terus belajar.
“Kalau ada silap, tegurlah dengan baik. Berikan saya ruang untuk berkembang dan menjadi lebih baik,” katanya.