Sebuah syarikat di China menjadi perbualan hangat apabila terpalit dengan kontroversi yang didakwa telah mengeluarkan notis ugutan untuk memecat kakitangan yang masih belum berkahwin atau bercerai.

Memetik Harian Metro, Kumpulan Kimia Shuntian di wilayah Shandong di timur China, yang menggaji lebih 1,200 orang, mengumumkan dasar meningkatkan kadar perkahwinan syarikat itu pada Januari lalu.

bujang
Sumber Gambar: China daily

Dasar itu memerlukan kakitangannya yang bujang dan sudah bercerai, berusia di antara 28 tahun dan 58 tahun, untuk berkahwin menjelang akhir September ini.

Sementara mereka yang masih tidak berkahwin pada akhir Mac menulis surat ‘kritik diri’. Jika masih berlarutan sehingga akhir Jun ini, syarikat akan membuat penilaian terhadap mereka.

Kalau bujang sampai hujung September bakal dipecat

Seandainya mereka masih bujang pada penghujung September, kakitangan terbabit akan dipecat.

Syarikat itu juga mengesahkan dasar yang menekankan nilai tradisional Cina seperti kesetiaan dan kepatuhan anak.

“Tidak menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan kadar perkahwinan adalah tidak setia. Tidak mendengar ibu bapa, kamu tidak berbakti.

“Membiarkan diri kamu membujang bukanlah kebaikan. Menggagalkan jangkaan rakan sekerja kamu adalah tidak adil,” kata syarikat itu dalam pengumuman.

Syarikat itu diasaskan pada 2001, dan salah satu daripada 50 perusahaan teratas di bandar Linyi di mana ia berpusat.

Sudah tarik balik polisi pelik

Bagaimanapun, Biro sumber manusia dan keselamatan sosial tempatan memberitahu The Beijing News bahawa ia memeriksa syarikat itu pada 13 Februari, dan dalam tempoh kurang sehari, syarikat itu sudah menarik balik polisi berkenaan.

Setakat ini, tiada kakitangan dipecat kerana status perkahwinan mereka.

“Syarikat gila ini harus memikirkan perniagaannya sendiri dan menjauhkan diri daripada kehidupan peribadi kakitangan,” tulis seorang netizen.

“Biarlah mereka melaksanakan dasar itu. Mereka yang dipecat hanya boleh memohon untuk timbang tara dan mendapat jumlah pampasan yang baik,” tulis seorang lagi netizen.

Difahamkan notis syarikat itu melanggar Undang-undang Buruh China dan Undang-undang Kontrak Buruh.