Kajian yang dibuat oleh pusat penglibatan sosial O2 Malaysia mendapati bahawa 71 peratus responden berbangsa Melayu tidak berpuas hati dengan kerajaan baharu dalam memenuhi manifesto pilihan raya umum ke-15.

Melalui laporan Malay Mail, tinjauan ini menunjukkan bahawa secara keseluruhan, 25 peratus responden berkata mereka berpuas hati dengan kerajaan. Sebagai perbandingan, hanya 15 peratus orang Melayu di Semenanjung yang berpuas hati dengan kerajaan perpaduan.

Baca Juga:

Tinjauan yang dibuat sempena 100 hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pentadbirannya memerintah telah melibatkan 35,077 responden melalui lima saluran media: Sinar Harian, Awani, The Star, Sin Chew, dan Malaysia Nanban.

Matlamat tinjauan ini adalah untuk mengkaji sentimen rakyat Malaysia berhubung prestasi dan populariti kerajaan campuran selepas PRU15.

Selain melayu, kaum Cina mencatatkan 38 peratus, kaum India dengan 48 peratus, 42 peratus Bumiputera di Sabah, 37 peratus Bumiputera di Sarawak, dan 33 peratus yang lain-lain telah mencatatkan peratusan berpuas hati dengan kerajaan dalam memastikan bahawa manifesto mereka terlaksana.

Tambahan daripada itu, 45 peratus responden merasakan negara sedang bergerak ke arah yang betul.

76 peratus kaum Cina dan India merasakan negara sedang menuju ke arah yang betul, bersama-sama dengan 59 peratus Bumiputera di Sabah, 60 peratus Bumiputera di Sarawak dan 58 peratus kaum lain.

Sebaliknya, 60 peratus orang Melayu di semenanjung Malaysia dilaporkan merasakan keadaan negara sekarang lemah.

Sebagai perbandingan, 41 peratus responden Cina dilaporkan merasakan keadaan semasa negara adalah kukuh, bersama-sama dengan 49 peratus kaum India, 43 peratus Bumiputera di Sabah, 45 peratus Bumiputera di Sarawak, dan 39 peratus daripada etnik lain.