Seorang wanita menuntut keadilan atas kejadian buli yang menimpa adiknya oleh beberapa pegawai atasan askar ketika menghadiri kursus di Pangkalan Udara Pahang.

Ketika ditemubual oleh The Vocket dan perkongsian di laman Twitter peribadinya, @ummiiiiinmo berkata kejadian difahamkan terjadi sejak penghujung Februari 2023 yang melibatkan tujuh orang pegawai satu calit atau L/Kprl.

Baca Juga:

Mereka didakwa membuli sehingga mangsa iaitu adiknya hilang pendengaran akibat disepak, dia turut disebat menggunakan getah paip dan dicucuh rokok di bahagian lidah. Tidak cukup dengan itu, mangsa turut dibogelkan, ditumbuk dan dibelasah secara beramai-ramai.

Salah seorang pembuli turut mengugut mangsa bahawa jika mangsa mahu membuat laporan terhadap tingkah laku mereka, tidak ada apa-apa tindakan akan diambil kerana suspek ‘kebal’ disebabkan mempunyai perlindungan daripada pegawai ‘bintang tiga’.

Kejadian ini telah mengakibatkan adiknya mengalami beberapa kecederaan dan tekanan mental yang teruk selepas ketakutan dibuli oleh suspek.

Ahli keluarga mangsa mengecam sekeras-sekerasnya tindakan yang dibuat suspek ke atas mangsa. Bagi mereka perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Justeru mereka menuntut agar satu siasatan telus dibuat bagi mencari keadilan kepada mangsa.

“Kami dah buat report [polis]. Sekarang tunggu update dari pihak polis di Kuantan. siasatan masih berjalan.

“Saya harap tindakan akan diambil oleh pihak berkuasa kerana adik saya terima ugutan daripada si pembuli-pembuli ini katanya, ‘tunggu kat base nanti. kau takkan selamat,’” katanya kepada The Vocket.

Setakat laporan ini ditulis, ciapan ini telah mendapat perkongsian meluas oleh pengguna media sosial. Ia juga mendapat perhatian beberapa ahli politik antaranya adalah Syed Saddiq.

Manakala pihak Pangkalan Udara Kuantan dan pihak-pihak yang bertanggungjawab masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai kejadian ini.