Migrasi—topik panas yang sering mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ada yang percaya masa depan lebih cerah di luar negara, ada pula yang memilih untuk bertahan di tanah air, walau dengan cabaran yang ada.

Tapi, betulkah anggapan bahawa hidup di luar negara lebih indah? Atau adakah ramai yang akhirnya tersedar, rumput di seberang sebenarnya tidak selalunya hijau?

Satu perkongsian di Threads baru-baru ini menarik perhatian ramai sehingga mencetuskan perbincangan panjang lebar di kalangan netizen.

“Kalau nak migrate, pergilah. Tapi jangan kutuk negara sendiri,” tulis seorang pengguna bernama Shidah Hisham.

Respons yang diterima memperlihatkan dua sisi pandangan – mereka yang sudah berhijrah, dan mereka yang memilih untuk kekal.

Aidil Reynolds, seorang pengguna yang mendakwa pernah bermigrasi, memberikan perspektif unik.

“Kau akan rindu makanan, kebaikan rakyat Malaysia, kehidupan santai, dan rasa ‘fit in’ dengan budaya kita. Di luar sana, semuanya berbeza.”

Netizen lain turut berkongsi pandangan mereka.

Ada yang setuju dengan kenyataan ini, malah menyebut, “Usually people like this baru sedar nilai Malaysia selepas tinggal di luar.”

Apa yang jelas daripada perbincangan ini adalah ramai yang memberi pandangan ‘romantik’ tentang kehidupan di luar negara tanpa memahami cabarannya.

Antara cabaran yang disebut ialah kekurangan makanan halal, budaya masyarakat yang berbeza, dan waktu solat yang menyukarkan.

Sebagai contoh, seorang pengguna berkongsi bahawa waktu solat di Norway hanya beza 4 minit antara Zuhur dan Asar, menimbulkan kesukaran untuk mengikuti jadual biasa.

“Yang nak migrasi, ingat satu benda: macam mana kita layan pendatang asing di Malaysia, begitulah orang luar akan layan kita,” tulis seorang pengguna.

Sementara itu, ramai juga menekankan kelebihan Malaysia yang sering dilupakan.

Dari makanan yang pelbagai hingga ke masa solat yang mudah diatur, netizen bersetuju bahawa banyak perkara baik di Malaysia yang tidak dihargai sehingga kita berjauhan.

“Ramai warga asing dari US dan UK memilih untuk bersara di Malaysia. Kenapa kita tak nampak kelebihan yang sama?” kata seorang pengguna dengan nada sinis.