Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sekali lagi membuktikan jiwa besarnya sebagai seorang legenda sukan tanah air.
Walaupun sekadar meraih pingat gangsa dalam acara pecut individu di Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Perth, Australia Ahad lalu, kemenangan tersebut membawa makna yang mendalam.
Bagi beliau, kilauan gangsa itu dirasakan sama nilainya dengan emas kerana berjaya ‘mengajar’ pelumba Israel, Mikhail Yakovlev, erti kekalahan.
Enggan Beri Kemenangan Percuma

Dalam arena sukan antarabangsa, kita sering melihat atlet dari sukan tertentu seperti taekwondo atau gusti memilih untuk menarik diri daripada bertanding menentang wakil Israel sebagai tanda protes.
Namun, pada usia 38 tahun, Azizulhasni mempunyai prinsip perjuangannya yang tersendiri di atas trek.
Bagi jaguh kelahiran Terengganu ini, menarik diri hanya akan memberikan laluan mudah buat pihak lawan.
“Bagi saya kenapa nak tarik diri? Kalau tarik diri dia akan menang. Jadi lebih baik saya lawan walaupun dia lebih kuat dan saya pula masih belum berada di prestasi terbaik,” tegas beliau berhubung keputusannya untuk terus beraksi lapor Harian Metro.
Kecerdasan Taktikal Atasi Fizikal
Menentang Yakovlev bukanlah satu tugas yang mudah. Azizulhasni mengakui bahawa pelumba Israel tersebut memiliki kelebihan yang ketara dari segi fizikal serta momentum prestasi semasa.
“Kalau tengok atas kertas memang dia pilihan. Catatan masa dia sekitar 9.4 saat, sedangkan saya sekitar 9.6 atau 9.7 saat,” jelasnya secara realistik.
Namun, kekurangan dari sudut kelajuan itu ditampung dengan pengalaman dan kecerdasan taktikal.
Kemenangan pada perlumbaan pertama ternyata melonjakkan keyakinannya. Menyedari Yakovlev akan cuba membaca pergerakannya, “The Pocket Rocketman” bertindak bijak dengan mengubah taktikal pada perlumbaan kedua.
Strategi serampang dua mata ini berhasil apabila beliau menang bersih 2-0, sekali gus menempah tempat di podium.
Kemanisan Kemenangan di Bulan Ramadan
Berentap di peringkat dunia pada bulan Ramadan pastinya menuntut ketahanan mental dan fizikal yang luar biasa. Namun, semangat juang Azizulhasni menoktahkan kebanggaan buat seluruh rakyat Malaysia.
Menceritakan tentang pertembungan tersebut, Azizulhasni berkongsi bahawa beliau pada asalnya tidak menjangka akan berhadapan dengan pelumba tersebut.
“Saya sebenarnya kalau boleh tak mahu lawan dia. Saya harap dia menang separuh akhir lawan pelumba Australia supaya saya tak perlu bertemu dengannya. Tapi sebaliknya berlaku dan saya memilih untuk berlumba serta kalahkan dia dengan cara saya.
“Alhamdulillah saya menang. Walaupun gangsa, rasanya seperti menang emas kerana situasi perlumbaan itu sangat mencabar dan mungkin juga kerana ia bulan Ramadan,” luahnya penuh kesyukuran.
Kempen kejohanan di Perth itu menjadi detik gemilang buat kontinjen negara apabila Azizulhasni tidak pulang tangan kosong.
Selain pingat gangsa yang penuh bersejarah dalam acara pecut ini, beliau turut cemerlang merangkul pingat emas dalam acara kegemarannya, keirin.