Setiap kali melangkah keluar dari sempadan negara, setiap rakyat Malaysia sebenarnya memikul peranan sebagai duta kecil yang membawa imej tanah air di mata dunia.

Perkara ini terbukti apabila satu hantaran di platform media sosial Threads oleh pengguna bernama andr.rs tular selepas beliau menzahirkan rasa terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa menjaga adab ketika mengembara ke luar negara.

'Kami Orang Jepun Seolah Terkaku' – Pensyarah Kongsi Reaksi Pantas Pelajar Malaysia Bantu Warga Emas Jatuh
Sumber Gambar: Threads @andr.rs

Hantaran yang meraih lebih 5,000 tanda suka dan 53,000 tontonan itu mencetuskan gelombang perkongsian kisah positif daripada warganet mengenai layanan mesra yang mereka terima sebaik sahaja memperkenalkan diri sebagai rakyat Malaysia.

Reaksi Pantas Pelajar Malaysia Di Jepun Buat Warga Tempatan Terkedu

Antara perkongsian yang paling mencuri perhatian ramai datang daripada seorang pensyarah kejuruteraan mekanikal berasal dari Jepun yang kini berkhidmat di sebuah institusi pendidikan tinggi di Malaysia, iaitu Jun Ishimatsu menerusi akaun jishi77.

Walaupun bukan warganegara Malaysia, beliau tampil berkongsi pengalaman membanggakan ketika membawa sekumpulan pelajar Malaysia menyertai program pertukaran pelajar di Jepun.

Menurut beliau, kejadian tersebut berlaku di sebuah pusat beli-belah apabila seorang lelaki warga emas yang mempunyai masalah ketidakupayaan pada bahagian kakinya tiba-tiba hilang kawalan lalu terjatuh.

Tanpa berfikir panjang, pelajar-pelajar Malaysia berkenaan terus meluru ke hadapan untuk membantu warga emas itu.

“Kami orang Jepun termasuk ahli keluarganya sendiri seolah-olah terkaku dan terlupa untuk bergerak kerana reaksi pelajar-pelajar ini sangat pantas dan semula jadi,” kongsi beliau dalam ruangan balas yang meraih lebih 1,100 tanda suka.

Apabila seorang pengguna lain, sewayou, bertanyakan sama ada warga emas dan keluarganya sempat mengucapkan terima kasih atas tindakan murni tersebut, Jun Ishimatsu mengakui beliau amat berbangga sebagai pensyarah yang mengiringi mereka.

Beliau turut memaklumkan bahawa lelaki warga emas terbabit serta ahli keluarganya menunjukkan penghargaan yang sangat mendalam atas bantuan segera yang dihulurkan.

Layanan Istimewa Dari Mesir Hingga Ke Negara Eropah

Bukan itu sahaja, ruangan komen hantaran tersebut turut dibanjiri pelbagai pengalaman manis rakyat Malaysia di serata dunia yang disambut dengan senyuman lebar hanya kerana reputasi baik yang ditinggalkan oleh pengembara terdahulu.

Pengguna bernama sorayanorman menceritakan pengalamannya ketika berkunjung ke Mesir pada awal tahun ini.

Sewaktu berada di Masjid Al-Azhar, seorang petugas di sana memandangnya lalu bertanya sama ada beliau berasal dari Malaysia.

Sebaik sahaja mengiyakan pertanyaan itu, petugas berkenaan terus tersenyum lebar, mengangkat ibu jari sebagai tanda pujian dan memaklumkan perkara tersebut kepada rakan setugasnya yang turut memberikan reaksi serupa.

Pengalaman hampir sama turut dikongsikan oleh deanfyunus ketika melalui pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Helsinki, Finland pada tahun lalu. Pegawai imigresen yang bertugas kelihatan begitu gembira sebaik melihat pasport Malaysia miliknya.

“Beliau sempat bertanya mengapa saya tidak datang dua minggu lebih awal supaya dapat merasai pengalaman ribut salji pada suhu negatif 30 darjah Celsius, malah meluangkan masa beberapa minit untuk bertanya khabar mengenai negara kita yang tercinta,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna iaitu abangaziz berkongsi maklum balas yang diterimanya daripada pengendali pelancongan di Flam, Norway yang menyifatkan rakyat Malaysia sebagai golongan paling ceria dan gembira yang pernah mereka temui.

Tanggungjawab Sebagai Duta Kecil Negara

Keperibadian tinggi rakyat Malaysia turut menyerlah dalam kalangan keluarga yang membawa anak kecil melancong ke luar negara.

Seorang ibu, nshyama, mengimbau kenangan ketika beliau dan suaminya menyertai rombongan pelancongan Trafalgar Tours di United Kingdom bersama dua orang anak mereka yang berusia tujuh dan 11 tahun.

Pada penghujung percutian, ramai peserta rombongan yang kebanyakannya berasal dari Amerika Syarikat tampil memuji kelakuan baik anak-anak mereka.

Peserta rombongan itu mengakui pada mulanya mereka agak risau apabila mengetahui terdapat dua kanak-kanak dalam kumpulan tersebut, namun terkejut melihat kedua-duanya begitu tertib dan tidak membuat bising sepanjang perjalanan.

Pasangan suami isteri itu dengan penuh rasa bangga memaklumkan bahawa mereka adalah rakyat Malaysia.

Bagi cikapot pula, memegang status sebagai wanita Islam berhijab membuatkan beliau sentiasa berwaspada dan menjaga tingkah laku setiap kali berada di negara orang.

“Saya sentiasa menganggap diri saya sebagai duta Malaysia apabila berada di luar negara kerana saya membawa nama negara bersama. Jadi, sentiasalah berbuat baik, jaga adab serta sebarkan kasih sayang dan aura positif.

Kita tidak pernah tahu, mungkin kita menjadi sebab seseorang itu memilih untuk melawat Malaysia, atau lebih baik lagi, mengubah persepsi negatif mereka terhadap stereotaip tertentu,” jelasnya.

Pandangan itu turut dipersetujui oleh auds_lee yang sentiasa membawa cenderahati kecil seperti dompet bercorak batik untuk dihadiahkan kepada penduduk tempatan yang banyak menghulurkan bantuan sepanjang percutiannya.

Kisah-kisah inspirasi ini membuktikan bahawa budi bahasa dan sikap ringan tulang yang menjadi teras budaya masyarakat kita mampu meninggalkan kesan mendalam di peringkat antarabangsa.

Tanggungjawab mengharumkan nama negara tidak hanya terletak di bahu pemimpin atau atlet semata-mata, sebaliknya bermula daripada setiap langkah, senyuman dan keikhlasan rakyat Malaysia walau di mana jua mereka berada.