Setiap kali jerebu melanda negara, pasti timbul tanggapan negara jiran Indonesia punca kepada isu alam sekitar itu berlaku.

Bagaimanapun, kerajaan Indonesia melalui Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan (KLHK) menafikan dakwaan berhubung jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah (karhutla) di Indonesia melintasi Malaysia, petik Sinar Harian.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Perkara itu dinyatakan Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan, Siti Nurbaya Bakar menerusi satu kenyataan rasmi di Jakarta pada Isnin bahawa aduan Malaysia mengenai jerebu Indonesia adalah tidak tepat.

“Kami telah memantau keadaan, dan tiada jerebu rentas sempadan yang sampai ke Malaysia,” katanya.

Berdasarkan pemerhatian Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) dan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) selama beberapa hari, jerebu berada pada tahap sederhana hingga pekat di beberapa kawasan di Sumatera dan Kalimantan.

Pemantauan itu dibuat melalui laporan imej taburan jerebu daripada ASMC bagi tempoh dari 28 hingga 30 September 2023, sehingga petang semalam pada 16:00 WIB (Waktu Indonesia Barat).

Pada 1 Oktober 2023, jerebu mula menebal di Kalimantan Tengah (Kalteng) dan Sumatera Selatan (Sumsel). Namun begitu, tiada jerebu rentas sempadan yang diperhatikan.

ASMC ialah program kerjasama serantau dalam kalangan Perkhidmatan Meteorologi Kebangsaan (NMS) negara anggota ASEAN. ASMC beroperasi di bawah Perkhidmatan Meteorologi Singapura.

Sementara itu, berdasarkan pemerhatian satelit BMKG, imej taburan jerebu di wilayah Indonesia sepanjang tiga hari itu menunjukkan jerebu dikesan di beberapa kawasan di Sumatera dan Kalimantan. Arah angin lazim di Indonesia biasanya dari tenggara ke barat laut dan timur laut dan tiada jerebu rentas sempadan dikesan.

“Jadi jelas, kedua-dua sumber mengesahkan tiada jerebu rentas sempadan,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan Indonesia meneruskan usaha untuk memadamkan kebakaran di hutan dan tanah gambut di Sumatera Selatan, Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan, dan beberapa wilayah lain di pulau Sumatera dan Kalimantan, serta beberapa bahagian di Jawa.

Pelbagai operasi sedang dijalankan untuk memadamkan kebakaran bermula dari memadam kebakaran di darat hingga pengeboman air dan teknologi pengubahsuaian cuaca.

KLHK telah mendedahkan bahawa 203 syarikat telah menerima amaran, dan 20 syarikat telah ditutup kerana penglibatan mereka dalam kebakaran, termasuk anak syarikat syarikat Malaysia.

“Kerajaan Indonesia terus bekerja keras untuk menangani isu ini(karhutla),” katanya.

Sumber