Beijing menunjukkan pendirian tegas terhadap Amerika Syarikat (AS) selepas Presiden Donald Trump meningkatkan tarif ke atas semua barangan China, lapor BBC.

Dalam kenyataan yang penuh berani, Kedutaan China di Washington menegaskan bahawa mereka bersedia “berperang dalam apa jua bentuk” jika AS meneruskan tekanan ekonomi dan perdagangan.

China
Sumber: Politico

“Kami tidak takut dengan ancaman. Jika AS mahukan perang – sama ada perang tarif, perang dagang atau apa jua bentuk perang – kami sedia bertempur hingga ke akhirnya,” tulis China dalam satu hantaran di X (dahulunya Twitter), memetik kenyataan rasmi kerajaan.

Perang Dagang Meningkat, China Tindak Balas dengan Tarif Baru

Ketegangan antara dua ekonomi terbesar dunia semakin hangat selepas AS mengenakan tarif tambahan ke atas semua import dari komunis tersebut.

Beijing tidak berdiam diri dan membalas dengan mengenakan tarif antara 10 hingga 15% ke atas produk pertanian dari AS.

China
Sumber: Bloomberg

Langkah ini adalah sebahagian daripada tindak balas Beijing dalam mengekang impak terhadap ekonominya, yang kini berdepan cabaran seperti pertumbuhan perlahan, krisis hartanah, dan pengangguran yang meningkat.

Beijing Naikkan Perbelanjaan Pertahanan, Isyarat Bersiap?

Ketika pemimpin dunia berkumpul di Beijing sempena Kongres Rakyat Kebangsaan, Perdana Menteri China, Li Qiang mengumumkan peningkatan belanjawan ketenteraan sebanyak 7.2% untuk tahun ini – sama seperti tahun lalu.

“Perubahan yang tidak pernah dilihat dalam satu abad sedang berlaku dengan pantas di seluruh dunia,” kata Li dalam ucapannya, memberi isyarat bahawa Beijing bersedia menghadapi cabaran geopolitik yang semakin mencabar.

China
Sumber: The New Yorker

Presiden Xi Jinping sebelum ini telah mengarahkan tentera China untuk meningkatkan kesiapsiagaan mereka, terutamanya dengan latihan ketenteraan yang lebih agresif di sekitar Taiwan.

Namun, kesiapsiagaan tentera tidak semestinya bermakna Beijing bersedia melancarkan perang dalam masa terdekat.