Bayangkan 100 tan udang segar terpaksa dilonggokkan setiap hari tanpa pembeli. Itulah realiti pahit yang sedang didepani oleh industri udang di Thailand ketika ini.
Semuanya bermula apabila Malaysia mula mengenakan sekatan import ke atas udang dari Thailand.
Susulan itu, Persatuan Udang Thailand kini merayu agar kerajaan mereka campur tangan segera dan berunding secara terus dengan Malaysia bagi menyelamatkan rantaian bekalan yang semakin tercekik.
Memetik laporan Harian Metro, Presiden persatuan itu, Ekapoj Yodpinit mendedahkan bahawa surat rasmi telah pun dihantar kepada Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul untuk mendesak perbincangan peringkat tinggi antara kerajaan (G2G).
“Isu ini terlalu besar kalau nak diuruskan oleh jabatan perikanan sahaja,” tegas Ekapoj. “Ini sudah bertukar menjadi pertikaian perdagangan dua hala. Kedua-dua kerajaan perlu duduk semeja dan bincang secara terus.”
Masa Semakin Suntuk Buat Penternak
Bagi penternak udang di sana, masa adalah wang. Sebelum sekatan ini berlaku, Malaysia merupakan lubuk rezeki mereka dengan anggaran eksport mencecah 3,000 tan sebulan.
“Penternak kita sudah tak mampu nak tunggu lagi,” luah Ekapoj lagi. “Setiap hari sekatan ini berjalan, makin banyak udang tak dapat dieksport. Kalau hal ini berlarutan sampai 10 hari lagi, kita akan hadapi lambakan lebih 1,000 tan udang di pasaran tempatan!”
Impaknya sudah mula terasa. Harga udang domestik jatuh merudum, aktiviti pemborongan semakin perlahan, malah pengusaha stor sejuk beku kini pening kepala memikirkan cara untuk menyimpan lambakan stok.
Lebih memburukkan keadaan, permintaan dari pasaran besar lain seperti Jepun dan Amerika Syarikat juga sedang perlahan.
Konflik Sebenar: Isu ‘Udang’ atau Dendam ‘Siakap’?
Untuk rekod, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia telah menggantung sementara import lima jenis udang dari Thailand bermula 1 Jun lalu sebagai langkah memperketat kawalan keselamatan. Antara spesies udang yang disenaraihitamkan termasuklah:
* Udang Harimau Coklat
* Udang Pisang
* Udang Putih
* Udang Harimau
* Udang Biru
Namun begitu, Ekapoj tampil berkongsi cerita di sebalik tabir. Menurutnya, konflik sekatan ini dipercayai tercetus susulan tindakan pihak berkuasa Thailand sendiri yang mengenakan prosedur ketat ke atas ikan siakap yang diimport dari Malaysia.
Ujian sisa residu yang dijalankan oleh Thailand ke atas ikan siakap Malaysia didakwa mengambil masa terlalu lama, antara 10 hingga 15 hari, lantas mencetuskan rasa kurang senang di pihak Malaysia.
Walaupun mengakui dan memahami rungutan pihak Malaysia, Ekapoj mempertahankan tindakan ketat negaranya itu. “Thailand tetap kena pertahankan standard keselamatan makanan kita. Lagipun, sebelum ini memang kita pernah kesan pencemaran sisa berbahaya pada ikan siakap yang dibawa masuk dari Malaysia.”
Usaha Bantuan Kerajaan Masih Tak Cukup
Bagi meredakan keadaan, Kementerian Perdagangan Thailand baru-baru ini melancarkan 13 pelan tindakan sokongan. Ini termasuklah kempen galakan jualan dalam negara dan pencarian pasaran eksport baharu dengan sasaran untuk menyerap sekitar 400 tan udang sebulan.
Namun, bagi Ekapoj, angka itu ibarat melepaskan batuk di tangga.
“400 tan itu langsung tak cukup untuk ganti kerugian pasaran Malaysia yang hilang,” bidasnya. Beliau terus menggesa agar penyelesaian menang-menang dapat dicapai segera sebelum konflik ini meruntuhkan terus industri udang di Thailand.