Sudah selalu sangat kita mendengar kisah di mana warga tempatan sanggup pergi ke Siam atau nama modennya Thailand untuk mendapatkan khidmat bomoh di sana kerana didakwa tersangat kuat dan berbahaya.

Bagaimanapun, seorang pengguna X @Cermintprincess yang juga merupakan rakyat Thailand mendedahkan perkara sebaliknya pula apabila mereka sebenarnya lebih gerun dengan ilmu hitam yang diamalkan oleh masyarakat Melayu dan percaya antara terkuat di rantau Asia Tenggara.

“Orang Thai juga takut dengan ilmu hitam Melayu. Tahun lepas, ada perbualan di Twitter tentang ilmu hitam di rantau Asia Tenggara.

“Ramai orang mengatakan bahawa ilmu hitam Melayu dan Kemboja mempunyai kesan serangan paling kuat,” tulisnya.

ilmu hitam
Gambar Hiasan

Menerusi hantaran yang sama, dia mendedahkan Thailand pernah suatu ketika dahulu memiliki ‘Kementerian Perubatan (Sihir)’  di dalam organisasi kerajaannya yang bertanggungjawab menguruskan hal ilmu hitam namun telah dimansuhkan pada tahun 1890.

Menurutnya, dia pernah diberitahu bahawa ilmu hitam dari Thailand adalah yang paling menakutkan, namun dia tidak begitu merasainya kerana amalan tersebut sering dipaparkan di televisyen di sana, menjadikannya sesuatu yang sudah biasa dilihat.

“Tapi dari apa yang saya dengar daripada ramai kawan-kawan luar (termasuk yang dari Asia Tenggara), semua setuju yang ilmu hitam Thai paling menakutkan.

“Jadi, saya rasa kami ni dah terbiasa je, macam selalu je keluar berita pasal ilmu hitam kat TV. Kita pun macam, ‘baik bawak balik balik kementerian tu!’,” katanya dengan beranggapan kehadiran badan itu sepertinya tidak efektif.

'Kami Tiada Pula Sampai Muntah Paku' - Warga Thailand Akui Lebih Takutkan Ilmu Hitam Masyarakat Melayu
Sumber Gambar: Kosmo

Menelusuri perbualan ruangan bebenang itu, seorang warga tempatan berkongsi tentang ilmu hitam yang paling berbahaya iaitu santau di mana boleh menyebabkan seseorang untuk muntah paku dan perut meletup susulan sejenis santau bernama busung.

Balas pengguna dari Thailand itu, walaupun mempunyai ilmu hitam yang serupa, tetapi tidaklah sampai seekstrem di Malaysia yang mana kesannya hanya terlihat dalam jangka masa panjang cuma menyeksakan sahaja.

Namun, selepas pembakaran mayat barulah ada kemungkinan orang akan menemui paku dalam abu mangsa.

Dalam erti kata lain, santau Siam bukan tiada kesan serius, tetapi ia bekerja secara perlahan, senyap, dan lebih sukar dikesan, berbeza dengan santau jenis lain yang menunjukkan kesan fizikal seperti muntah paku dengan cepat.