Pengerusi Perak FC, Dato’ Seri Abdul Azim Mohd Zabidi mengeluarkan kenyataan berhubung perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sekali lagi ditangguhkan ekoran faktor cuaca.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan MFL, perlawanan terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat dimana keadaan padang yang tidak sesuai untuk digunakan.

Baca Juga:

Dato’ Seri Abdul Azim kemudiannya menegaskan bahawa pihaknya tidak diberikan ruang dan peluang dalam perbincangan yang kemudiannya memutuskan untuk perlawanan ditangguhkan.

“Perak FC prihatin dan berkongsi kekecewaan yang diluahkan penyokongnya serta komuniti bola sepak atas penangguhan perlawanan Liga Super antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) malam tadi yang didakwa disebabkan oleh cuaca buruk dan keadaan padang yang tidak sesuai untuk penganjuran perlawanan.

“Perak ingin menjelaskan bahawa kami tidak diberi peluang dan ruang untuk berbincang atau memberikan pandangan sepanjang proses membuat keputusan ini.

“Perak sebagai sebahagian daripada pemegang taruh Liga Malaysia (Liga-M) sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
termasuk penilaian kesesuaian venue perlawanan.

“Stadium Perak, Ipoh telah dinilai dan diluluskan penggunaannya sebelum musim Liga-M 2024/25 bermula serta sebelum perlawanan yang dijadualkan semalam.

“Kami mengakui dan sentiasa menyokong keperluan untuk penambahbaikan pada padang di stadium tersebut. Walaupun stadium ini tidak diuruskan secara langsung oleh Perak FC. kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan
Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) atas usaha mereka yang berterusan untuk menaik taraf padang dan aspek lain di stadium ini.

“Seperti yang sedia maklum, Perak akan bermain di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM). Manjung bagi baki musim 2024/2025 kerana kerja-kerja penaiktarafan padang Stadium Perak.

“Kami juga kecewa kerana tiada perancangan rapi dan notis awal dari pihak MFL berhubung perkara ini. Lebih 10,000 penyokong baik dari pihak tuan rumah mahupun pelawat telah hadir dengan perbelanjaan sendiri untuk menyaksikan perlawanan yang sangat dinanti-nantikan ini dan sehingga jam 6.00 petang. pemeriksaan menunjukkan bahawa perlawanan tidak akan dibatalkan.

“Pihak kami ingin menekankan bahawa kurangnya pertimbangan terhadap para penyokong kedua-dua pasukan, Perak dan JDT
yang hadir ke stadium adalah isu utama dalam hal ini.

“Pihak MFL perlu lebih prihatin, konsisten dan praktikal dengan mengambil kira serta menjaga kepentingan semua pemegang taruh, khususnya para penyokong. Perak ingin mengambil peluang ini untuk mengingatkan kepada pihak MFL bahawa penyokong adalah nadi kepada sukan ini.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada penyokong pasukan Perak FC atas sokongan yang tidak berbelah bahagi dan kami berharap agar pihak MFL akan mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh dan lebih terancang pada masa hadapan bagi mengelakkan keadaan seperti ini berulang lagi.