“Cikgu, kami yang buat. Minta maaf cikgu.”
Di hadapan aku, berdiri tiga pelajar tingkatan empat. Kelas aku sendiri. Kelas 4 Indah (kot? Aku dah tak berapa ingat). Tiga-tiga buat muka seposen.
Tapi memang nampak betul penyesalan di wajah mereka. Semuanya seakan pasrah sahaja akan tindakan yang aku akan ambil ke atas mereka.
Punca
Di dinding tangga tempat kami berdiri, ada contengan kata-kata nista terhadap Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM).
Aku tak berapa ingat dengan jelas apa perkataannya, tapi aku tahu tulisan itu amat besar, mungkin tinggi dan depanya selebar depa orang dewasa.
Awal hari itu, aku dapat khabar tentang contengan itu. Jadi heboh di bilik guru. Walaupun tak ada yang menuduh, aku tahu ini kerja budak-budak kelas aku.
Sebab di samping contengan itu menghina PK HEM, ia turut menghina anak lelaki PK HEM yang juga dalam kelas yang sama.
Masa aku mula ambil alih kelas ini sebagai guru GSTT (Guru Sandaran Tidak Terlatih), aku nampak diri aku macam Onizuka.
Kelas aku memang banyak murid bermasalah. Kelas ‘akhir’lah katakan. Dicampak subjek Perdagangan, Seni dan apa entah.
Atas sebab mereka di kelas ‘hujung’ inilah kadang-kadang cikgu nak masuk kelas pun fikir dua kali.
Nakal, memang nakal. Kau masuk pintu depan, mereka keluar pintu belakang. Selamba saja macam kau tak wujud.
Itu belum masuk bab suara suka tengking-tengking. Perkataan caci maki lancar saja keluar dari mulut dan pergaulan antara jantina yang aku risau bila tengok.
Nampak diri sendiri
Bila aku lihat mereka, aku nampak diri sendiri. Pada zaman persekolahan, aku juga budak kelas hujung. Bahkan semua kelas di tingkat atas blok E, SMSG itu memang kelas rata-ratanya yang tidaklah pandai mana.
Maka sebaik aku melangkah masuk 4 Indah dan dibentangkan dengan situasi sama, aku seakan boleh teka apa yang perlu dibuat.
‘Kalau budak-budak ini rasa dia gangster, aku akan jadi gangster lagi besar daripada mereka’ – itulah formulanya.
Memang itu yang aku buat. Bila mereka kata mereka otai Pandan, otai Maluri, aku balas balik – suruh mereka tanya ‘abang long’ mereka di luar sana, kalau betul anak jantan marilah bertatap mata dengan aku.
“Gangster sebenar tak perlu beritahu dia otai mana, pegang kawasan mana. Dia masuk ke mana pun orang akan terasa dia power dan hormat ke dia,” kata aku.
Beritahu cikgu
Dengan anak murid di 4 Indah aku pesan beberapa hal. Kalau nak ‘fly’ jangan tak beritahu cikgu. Dan kalau ‘fly’ jangan tak patah balik ke sekolah.
“Pergi makan, lepas tu masuk balik sekolah. Kalau tak, memang kamu mahu cari pasal dengan cikgu,” pesan aku.
Dalam sebulan dua aku pegang kelas ini, memang selalu juga kena tekan dek pihak pengurusan, disuruh hantar surat amaran sebab tak hadir ke sekolah.
Aku memang ralat nak hantar sebab yang mereka tak hadir tu banyaknya zaman aku belum pegang kelas.
Bukan nak kata elok sangat kehadirannya tapi kau boleh nampak la yang makin lama makin kurang tanda ‘O’ dalam rekod kehadiran.
Sampai satu tahap percayanya mereka kepada aku, kalau mereka buat salah, mereka mengaku sendiri.
Lama tak ada kes
Lama juga aku tak dengar kes melibatkan budak-budak aku, jadi bila tiba-tiba timbul kes conteng dinding ni, aku cepat-cepat pergi ke kelas untuk ‘settle’ dengan mereka.
Tujuan utama aku – tak mahu guru disiplin sampai dahulu ke kelas. Dia lain. Aku memang bengkeng gila dengan cara dia buat kerja.
“Baik mengaku, siapa conteng dinding itu?”
Semua senyap.
“Kamu nak tipu cikgu ke?”
Mula ada bunyi-bunyi ngomel. Beberapa antara mereka tengok sesama sendiri.
“OK. Kamu tak mahu tolong diri sendiri. Cikgu datang sini sebab nak back up kamu. Sebelum kes orang lain ambil baik cikgu settle dengan kamu cara gentleman.
Mungkin kamu nak back up kawan kamu. Silakan. Kalau tak ada yang mengaku, memang satu kelas ini kena dengan cikgu,” sempat juga aku ceramah.
Dalam pada aku ingat dah gagal, rupanya umpan aku mengena.
Mengaku
Petang sikit sebelum habis sekolah, sorang murid ajak aku ke tempat contengan. Di situ kawan dia yang tiga orang dah tunggu.
Mereka mengaku. Aku senang hati juga sebab tiga serangkai ini memang otai besar dalam kelas. Kira kalau mereka sanggup mengaku salah tu sebenarnya rahmat dah buat aku.
“Baik. Kau orang buatlah apa pun yang penting esok benda ini (contengan) dah tak ada di sini,” itu sahaja pesan aku.
Esok pagi masa ambil kehadiran di perhimpunan, aku tak nampak muka mereka bertiga.
Tapi nak dekat waktu rehat mereka datang jumpa aku buat muka gembira.
Aku pergi ke tempat contengan. Benda pertama aku buat adalah ketawa.
Mana taknya. Mentang-mentang aku kata ‘buat apa sahaja’ bukannya mereka cat padam contengan itu.
Mereka KIKIS keluar semuanya. Tak pasal-pasal lompong dinding, hahaha…
Conteng dinding tu salah.
Kikis dinding pun salah, kalau diikutkan peraturan.
Pada aku, antara dua dosa ini, lebih kecil dosa kikisan berbanding contengan. Entah-entah naik tahap sunat muakkad.
Lalu tersenyumlah aku seorang diri bila ada cikgu yang bawak mulut dalam bilik guru tentang dinding yang dikikis pula.
Nasiblah kau. Bila ada conteng kau bising. ‘Padam’ conteng pun kau nak bising juga?
Entah mana nak-anak murid aku sekarang. Dulu aku buka akaun FB kedua khas untuk mereka. Tapi password dah lupa maka terputuslah hubungan dengan mereka.