Sekitar April yang lalu, berita menyayat hati tentang seorang budak lelaki di Taiwan bernama Huang, 7 tahun koma selepas dicampak sebanyak 27 kali oleh jurulatihnya serta dua orang pelajar senior semasa berlatih seni bela diri Judo di sebuah studio.
Setelah lebih dua bulan koma di ruang ICU, Huang tidak mampu bertahan dan kanak-kanak malang itu telah disahkan meninggal dunia di Hospital Feng Yuan di Taichung pada Rabu, 30 Jun 2021.
Difahamkan, selama koma 70 hari di hospital, Huang disahkan telah mengalami pendarahan dalam otak serta masalah pernafasan setelah beberapa organ dalam dilaporkan gagal berfungsi dengan baik.
Selama tempoh koma tersebut, Huang dikatakan hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Tiada perkembangan yang positif terhadap tahap kesihatan Huang, akhirnya, ibu bapa Huang akui yang nyawa anaknya sudah tiada dan memutuskan untuk mencabut sokongan bantuan alat pernafasan anaknya pada Selasa, lapor pihak hospital kepada media antarabangsa AFP.
Susulan itu, jurulatihnya yang mahu dikenali sebagai Ho, sudah didakwa pada awal bulan Jun yang lalu atas tuduhan mencederakan kanak-kanak dan mempergunakan kanak-kanak untuk melakukan kegiatan jenayah, kata pihak pendakwa dalam satu kenyataan.
“Dalam sebutan kes, jurulatih didapati telah mengarahkan dua orang pelajar senior belajar teknik menghempas badan lawan ke atas lantai dan mempergunakan tubuh badan Huang untuk mempelajari teknik tersebut.
“Semasa kejadian, Huang pernah mengadu mengalami sakit kepala yang amat teruk dan berkali-kali merayu supaya latihan tersebut dihentikan serta-merta.
“Akan tetapi, tertuduh, Ho masih berdegil dan mahu menghempas Huang ke atas lantai untuk beberapa kali sehingga kanak-kanak itu jatuh pengsan dan termuntah,” kata pihak pendakwa.
Dilaporkan juga, pak cik Huang, yang menemani Huang ketika menghadiri ke kelas Judo tersebut dilaporkan gagal menghalang jurulatih berkenaan daripada terus menghempas anak saudaranya ke atas lantai.
Dalam pada itu, Datuk Bandar Taichung, Lu Shiow-yen yang pernah melawat Huang di hospital turut mengucapkan salam takziah kepada keluarga Huang di atas kehilangan Huang.
“Semoga mendiang adik Huang tenang di alam sana dan berharap keadilan pastinya berpihak kepada keluarganya,” kata Lu menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Mendiang Huang pernah dicampak 27 kali semasa berlatih Judo di sebuah studio. Anda yang terlepas, boleh membacanya menerusi pautan di bawah.
Dicampak 27 Kali Semasa Berlatih Judo, Kanak-Kanak Berusia 7 Tahun Disahkan Koma
Donnie Yen Akui ‘Takut Mati’ Ketika Berlakon Bersama Mike Tyson Dalam Ip Man 3
Hasbulla Sahkan Pertempuran Pertama Dengan Abdu Rozik Sebelum ‘Bertemu’ Conor McGregor