Budaya bersedekah dan pemberian ‘duit raya’ merupakan satu amalan murni yang cukup sinonim dengan keharmonian masyarakat di Malaysia.
Namun begitu, sebuah rakaman video tular yang memaparkan tindakan luhur seorang kanak-kanak tempatan berkongsi rezeki baru-baru ini telah mencetuskan polemik.
Perkara ini terjadi apabila seorang pengguna media sosial dari negara jiran mendakwa ia sekadar gimik dan pementasan kandungan .
Di dalam satu tangkap layar, boleh dilihat interaksi individu tersebut menuduh kanak-kanak Malaysia di dalam konten itu sebenarnya telah diaturkan oleh pencipta konten untuk menampakkan babak murni terbabit.
“Ini salah satu contoh komen betapa bodohnya orang Malaysia, tak mampu nak hadam isi kandungan video. Adakah kanak-kanak di Malaysia semasa sambutan Hari Raya akan bawa sampul berisi duit untuk diedarkan kepada semua orang asing yang dijumpai di jalanan?
“Jelas sekali itu hanya gimik, sampul duit pun memang sudah disediakan awal-awal. Biasakan diri kalau tengok sesuatu kandungan itu, fikir dan hadam dulu. Jangan telan bulat-bulat, supaya otak tidak menjadi semakin bodoh ya.”

Menariknya, dakwaan tersebut telah disangkal secara tuntas oleh seorang pencipta konten itu tampil mempertahankan niat murni kanak-kanak tersebut, sekali gus memberikan teguran bernas.
“Berani betul awak! Saya tidak pernah dan tidak akan sesekali memalsukan mana-mana video. Interaksi ini adalah ikhlas dan berlaku secara spontan!,” tegasnya pada balasan komen berkenaan.
Dengan komen ini sudah cukup menutup ruang kritikan tidak berasas berkenaan.
Insiden ini secara tidak langsung membuktikan bahawa keikhlasan sebenar masih wujud dan tidak wajar dicemari dengan prasangka buruk.
Tindakan pencipta kandungan tersebut mempertahankan kanak-kanak tempatan itu bukan sahaja membersihkan nama baik Malaysia, malah membuktikan bahawa keluhuran budi tidak mengenal bangsa mahupun sempadan negara.
Sewajarnya, situasi ini menjadi pengajaran buat semua pengguna media sosial agar lebih beradab dan matang dalam menilai sesuatu perkongsian, bukannya menormalisasikan budaya kecaman tanpa usul periksa.