Semalam tular beberapa klip video berlaku pertelingkahan orang ramai di kawasan kemalangan melibatkan seorang kanak-kanak tadika yang berlaku di Port Dickson.

Menurut laporan, seorang kanak-kanak berusia empat tahun maut, selepas motosikal yang ditunggang bapanya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di kilometer 16 Jalan Sua Betong- Air Kuning, Khamis lalu.

Baca Juga:

Ketika kejadian mangsa baru sahaja dijemput pulang dari tadika oleh bapanya. Mangsa disahkan meninggal dunia di Zon Merah Hospital Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Suprintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang. ketika penunggang motosikal yang merupakan juruteknik Ladang Sua Betong dalam perjalanan pulang dari mengambil anaknya dari Pasti Al Hasan, Taman Desa Port Dickson sebelum terlibat kemalangan dengan sebuah kereta Mercedes dipandu lelaki berusia 33 tahun, warga Singapura.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua kenderaan itu bergerak dari arah Air Kuning menghala ke Sua Betong.

“Sebaik tiba di lokasi, kereta berkenaan sedang memotong kenderaan di hadapannya lalu melanggar bahagian tepi kanan motosikal yang sedang membelok ke simpang kanan menghala ke Ladang Sua Betong,” katanya dalam satu kenyataan.

Aidi Sham berkata, akibatnya penunggang mengalami kecederaan patah bahu dan kaki kanan, pemboncengnya (kanak-kanak) itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

“Pemandu kereta berkenaan pula tidak mengalami sebarang kecederaan. Saringan awal ujian air kencing terhadap pemandu itu adalah negatif dan ujian pernafasan menunjukkan tiada kandungan alkohol dalam darah.

“Lelaki itu telah direman selama tiga hari bermula hari ini (Jumaat) dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Polis meminta saksi kejadian tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang spekulasi berhubung kejadian.

Sumber