Bagi sesiapa yang pernah menjejakkan kaki ke Korea Selatan, pengalaman meluangkan masa di rumah mandian awam atau jjimjilbang sememangnya antara aktiviti santai yang popular.
Namun, sebuah kejadian di sebuah pusat sauna terkenal di Busan baru-baru ini mencetuskan perdebatan hangat di media sosial apabila sensitiviti privasi pengunjung tempatan didakwa dicabuli oleh sekumpulan pelancong luar.
Kisah ini mula mendapat perhatian ramai pada 10 haribulan selepas seorang wanita tempatan, yang dirujuk sebagai Cik A, berkongsi pengalaman mencemaskan itu di platform Threads.
Apa yang sepatutnya menjadi sesi membersihkan diri yang tenang bertukar menjadi detik yang menakutkan buat dirinya dan pengunjung lain di situ.
Masuk Berpakaian Lengkap Dan Mengambil Gambar
Menurut perkongsian Cik A, dia ketika itu sedang mandi dan membersihkan diri bersama beberapa pengunjung wanita lain di kawasan tab mandian.
Suasana yang tenang tiba-tiba berubah apabila muncul empat orang wanita warga asing yang memakai hijab, berpakaian litup dan mengenakan cermin mata hitam masuk ke ruangan khas wanita tersebut.
Kehadiran mereka bukan sahaja ganjil kerana berpakaian penuh di kawasan mandian yang memerlukan pengunjung menanggalkan pakaian, malah kumpulan terbabit didakwa mula mengeluarkan telefon bimbit untuk merakam gambar.
Terkejut melihat perbuatan itu, Cik A segera menyarung pakaiannya, bergegas ke kaunter untuk membuat aduan kepada pihak pengurusan dan terus menghubungi pihak polis.
Penafian Di Lobi Dan Bukti Di Dalam Telefon
Bersama seorang pekerja sauna, Cik A berjaya mengesan kumpulan wanita terbabit dan membawa mereka ke bahagian lobi.
Pada mulanya, kumpulan pelancong itu menafikan sekeras-kerasnya bahawa mereka ada mengambil sebarang gambar di dalam ruangan mandian berkenaan.
Bagaimanapun, helah itu tidak bertahan lama sebaik sahaja pihak polis tiba di lokasi kejadian.
Pemeriksaan pegawai terhadap peranti telefon bimbit mereka mendapati terdapat foto-foto yang dirakam di dalam kawasan rumah mandian wanita itu
Mujur, tiada gambar pengunjung lain yang sedang mandi tanpa pakaian dikesan dalam simpanan peranti terbabit.
Cik A meluahkan rasa terkilan dan kesalnya terhadap tindakan yang dianggap menceroboh sempadan privasi tersebut.
“Mereka bertegas mengatakan mereka tidak melakukannya, tetapi apabila polis datang dan memeriksa, gambar yang diambil di dalam kawasan mandian memang ditemui. Mujurlah tiada gambar orang lain yang dirakam secara terbuka dalam keadaan tanpa seurat benang, namun saya benar-benar berasa jijik dan takut,” kata Cik A.
Respon Polis Dianggap Terlalu Berlembut
Kemarahan Cik A tidak terhenti di situ apabila dia turut mempersoalkan sikap pegawai polis yang bertugas mengendalikan kes berkenaan.
Dia mendakwa pihak berkuasa bersikap terlalu lembut dan mengambil mudah insiden tersebut, sedangkan ia melibatkan keselamatan maruah pengunjung di ruang persendirian.
Cik A menceritakan semula bagaimana layanan mesra yang diberikan polis membuatkan pelancong terbabit langsung tidak memandang berat insiden itu.
“Polis mendudukkan warga asing itu dan berkata dengan nada yang begitu lembut, ‘Awak tentu sangat terkejut, bukan? Awak tidak sepatutnya mengambil gambar di dalam bilik mandi.’
‘Mereka pula duduk bersebelahan sambil tergelak-gelak, seolah-olah langsung tidak menyedari betapa seriusnya keadaan ketika itu,” jelasnya.
Rasa tidak puas hati itu meninggalkan kesan mendalam terhadap emosi Cik A sehingga kini.
“Mereka membalut tubuh rapat-rapat dengan hijab dan pelbagai lapisan pakaian, siap memakai cermin mata hitam, lalu masuk ke tempat mandian dalam keadaan begitu semata-mata untuk merakam keadaan orang yang tidak berpakaian.
“Kemarahan saya masih belum reda, dan rasanya saya tidak akan mampu lagi untuk menjejakkan kaki ke sauna selepas ini,” luahnya lagi.
Disahkan Warga Malaysia Dan Aduan Rasmi Difailkan
Hasil semakan dokumen pengenalan dan pasport oleh pihak polis di lokasi akhirnya mengesahkan bahawa kumpulan pelancong berkenaan adalah warganegara Malaysia.
Tidak mahu isu tersebut dipandang sepi begitu sahaja, Cik A menyatakan bahawa dia telah memfailkan aduan rasmi berhubung insiden berkenaan serta cara pengendalian pihak polis menerusi Sistem Petisyen Nasional Korea Selatan.
Insiden ini menjadi satu peringatan besar buat sesiapa sahaja yang melancong ke luar negara tentang pentingnya memahami norma budaya serta mematuhi undang-undang tempatan.
Ruang seperti jjimjilbang di Korea Selatan mempunyai sensitiviti dan peraturan ketat mengenai hak privasi tubuh, di mana sebarang penggunaan kamera di kawasan mandian dilarang sama sekali demi keselamatan serta ketenteraman awam.