Sekali imbas, tiada apa yang luar biasa tentang motosikal jenama Aveta DY 115 ini.
Ini merupakan sebuah model ‘retro’ dengan enjin berkapasiti 113.3 cc, empat lejang, dan tangki bahan api sebesar 4.2 liter. Di bilik pameran, motosikal ini boleh dimiliki pada harga sekitar RM3,988 hingga RM4,088 sahaja.
Namun, hantaran di media sosial baru-baru ini mencetuskan fenomena apabila motosikal kapcai yang sama diiklankan pada harga yang mampu membeli sebuah banglo mewah RM750,000.

Bagi orang awam, angka ini mungkin kelihatan tidak masuk akal. Tetapi bagi pengumpul dan peminat automotif sebenar, nilai sebenar bukanlah terletak pada dua roda tersebut, sebaliknya pada sekeping besi pendaftaran yang terpampang di bahagian hadapan dan belakang motosikal: plat bernombor ‘PM 2’.
Muhammad Saffwan Muhammad Lotpy, 37, dari Batu Caves, merupakan individu yang bertanggungjawab memuat naik iklan tular tersebut.
Memetik laporan Harian Metro, Bapa kepada dua cahaya mata ini bukanlah pendatang baharu dalam industri malahan beliau merupakan seorang wakil pengurus (runner) berpengalaman lebih 15 tahun dalam urusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom.
Beliau menjelaskan bahawa motosikal tersebut sebenarnya adalah milik sepupunya. Peranannya hanyalah untuk membantu mengiklankan dan mencari bakal pembeli yang tepat.
“Memang harga pasaran nombor itu sekitar RM700,000 ke atas kerana ia nombor dua, antara nombor paling dicari. Kalau nombor ‘PM 1’, harganya boleh mencecah lebih RM1 juta,” jelas Saffwan ketika dihubungi.
Menurut beliau lagi, nombor pendaftaran klasik dan ‘rare’ itu pada asalnya merupakan hak milik sebuah kenderaan empat roda. Ia kemudiannya dipindahkan ke motosikal tersebut pada awal bulan ini melalui prosedur rasmi dan sah yang ditetapkan oleh pihak JPJ.
“Proses pemindahan nombor daripada kenderaan ke motosikal juga tidak rumit dan boleh diselesaikan dalam tempoh sehari melalui prosedur biasa di JPJ dan Puspakom,” tambahnya.
Menjual nombor pendaftaran bernilai ratusan ribu ringgit bukanlah seperti menjual pisang goreng panas. Ia menuntut kesabaran yang tinggi serta rangkaian kenalan yang tepat.
Sepanjang 15 tahun pembabitannya, Saffwan telah berjaya membantu menguruskan penjualan lebih 1,000 nombor pendaftaran dari harga marhaen sehinggalah yang mencecah enam angka.
“Orang mungkin pelik, tapi bagi pembeli sebenar mereka tahu nilai nombor seperti ini. Lagi kecil nombor, lagi tinggi harga,” kata Saffwan dengan nada tenang.
Beliau juga bersikap realistik mengenai tempoh jualan:
“Setakat ini, belum ada pembeli kerana biasanya nombor rare memang ambil masa. Ada yang jual cepat, ada juga sampai dua atau tiga tahun.”
Selain isu masa, Saffwan menegaskan bahawa cabaran paling besar dalam pasaran elit ini adalah memastikan ketulenan dan kesahihan nombor tersebut demi mengelakkan sebarang unsur penipuan.
“Kita kena pastikan nombor itu ‘bersih’ dan tiada masalah kerana sekarang ada kes nombor tidak sah,” ujarnya, menitikberatkan profesionalisme dalam urus niaga.
Lumrah di media sosial, sesuatu yang di luar kebiasaan pasti akan mengundang pelbagai reaksi. Iklan kapcai berharga RM750,000 itu tidak terkecuali daripada menerima komen-komen sinis dan cemuhan netizen yang menganggap ia satu gurauan bodoh.
Walau bagaimanapun, Saffwan mengambil pendekatan matang dengan tidak mengendahkan komen-komen negatif tersebut. Baginya, mereka yang mengecam hanyalah golongan yang tidak memahami ekosistem dan pasaran nombor pendaftaran eksklusif.
“Mereka yang memperlekehkan itu tidak jadi masalah kerana bukan pembeli,” bidasnya secara profesional.
Bagi Saffwan, urus niaga ini melibatkan emosi dan kepuasan peribadi golongan berada yang sanggup melabur demi sebuah kelainan.
“Hanya pembeli yang serius tahu betapa bernilai memiliki kenderaan dengan nombor plat rare. Bila dapat nombor yang jarang orang ada, memang ada kepuasan tersendiri. Itu yang buat peminat nombor sanggup berbelanja besar.”
Kisah motosikal kapcai ‘PM 2’ ini pada akhirnya bukanlah tentang sebuah mesin dua roda, tetapi ia adalah cerminan tentang nilai prestij, status, dan keunikan yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit oleh semua orang. Di jalanan, ia mungkin nampak seperti kapcai biasa, tetapi di atas kertas, nilainya setara dengan sebuah jentera supercar.