Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri sedia mencadangkan untuk menaik taraf lesen memandu bagi kelas B2 kepada B secara automatik yang mana akan dibawa kepada Kementerian Pengangkutan (MOT).

Namun begitu, pakar keselamatan jalan raya menggesa agar fokus diberikan kepada keselamatan jalan raya dan pengajaran pemanduan yang lebih baik, berbanding meluluskan usul pemimpin kerajaan untuk menaik taraf pemegang lesen motosikal kelas B2 kepada kelas B penuh secara automatik.

Baca Juga:

Lesen B2 adalah untuk motosikal dengan kapasiti enjin bawah 250cc (lazim dipanggil sebagai kapcai) manakala lesen B membenarkan pemegangnya menunggang mana-mana motosikal termasuk yang melebihi 500cc (motosikal kuasa tinggi atau superbike).

Pakar keselamatan jalan raya Law Teik Hua daripada Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia tidak bersetuju dengan usul naik taraf itu, sebaliknya menggesa agar perubahan dilakukan pada kurikulum sekolah memandu.

Beliau berkata, pemegang kedua-dua lesen itu memerlukan kemahiran berbeza memandangkan ia melibatkan jenis motosikal yang berbeza.

“Cara mengendalikan motosikal kecil dan superbike tidak sama. Perlu tahap kemahiran yang lebih tinggi untuk mengendalikan superbike,” katanya kepada FMT.

Menurut Law, usul yang dibuat oleh TPM pada ketika statistik menunjukkan lebih 4,000 penunggang motosikal maut akibat kemalangan jalan raya setiap tahun.

Beliau menggesa kerajaan memasukkan modul atau ujian persepsi bahaya dalam kurikulum lesen memandu.

“Banyak negara telah menggunakannya selama beberapa tahun untuk mengekalkan rekod keselamatan jalan raya yang kukuh,” katanya.

Ujian persepsi bahaya ialah ujian berasaskan komputer yang memeriksa sejauh mana seseorang dapat mengesan bahaya semasa memandu di jalan raya dan cara bertindak balas dengan selamat.

Pakar pengangkutan Rosli Azad Khan berkata, kerajaan akan dilihat sebagai mengabaikan keselamatan jalan raya jika meneruskan usul itu.

Katanya, pemegang lesen motosikal kelas B2 tidak menjalani prosedur pembelajaran dan ujian yang sama seperti pemegang lesen kelas B.

“Bukan sesuatu yang terbaik dari segi keselamatan jalan raya apabila mereka tidak mematuhi proses pembelajaran dan ujian yang ditetapkan oleh Ordinan Pengangkutan Jalan,” katanya.

Beliau turut menegaskan kerajaan akan kehilangan hasil apabila melaksanakan penaikan taraf lesen secara automatik. Kos untuk mendapatkan lesen motosikal B adalah antara RM1,100 dan RM1,500.

Sumber