Pemain yang mempunyai kaitan dengan Malaysia muncul bagaikan cendawan selepas hujan apabila seorang pemain yang beraksi di divisyen enam bola sepak England dilaporkan mempunyai pertalian darah dengan negara.

Menurut perkongsian FR Future Talent di laman media sosial Instagram, pemain yang dimaksudkan ialah Michael Edward Clunan yang ketika ini beraksi bersama Scunthorpe United.

Baca Juga:

Clunan merupakan pemain berusia 29 tahun yang beraksi di posisi tengah dan beliau juga dilantik sebagai ketua pasukan Scunthorpe United yang bersaing di Liga Nasional bahagian Utara musim ini.

Menurut FR Talent, Clunan mempunyai pertalian dengan Malaysia menerusi keluarganya yang dikhabarkan berasal dari Sabah.

Sepanjang kariernya, Clunan banyak beraksi di liga bawahan bola sepak England dimana beliau pernah menyarung jersi beberapa kelab seperti Norwich City, Boston United dan King’s Lynn.

Ketika artikel ini ditulis, belum ada sebarang pengesahan dari Clunan sendiri sama ada beliau benar mempunyai kaitan dengan Malaysia atau sebaliknya.

Pasukan negara sebelum ini pernah diwakili oleh beberapa pemain kacukan England-Malaysia seperti Samuel Somerville, Stuart Wilkins, Daniel Ting dan Darren Lok.

Sekiranya benar keluarga Clunan berasal dari Sabah, maka beliau boleh dipertimbangkan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan di pentas antarabangsa pada masa akan datang.

Ketua jurulatih, Kim Pan-gon perlu membuat penilaian teliti dan menguji sama ada pemain tersebut mampu untuk memberi sumbangan kepada pasukan negara atau ada pemain lain khususnya pemain tempatan yang lebih bagus dari Clunan.