Karim Benzema berkata dia mahu membawa lebih banyak trofi kepada kelab baharunya dalam Liga Pro Saudi, Al Hilal, yang disifatkannya sebagai “Real Madrid di Asia.”
Penyerang Perancis itu menolak lanjutan kontrak untuk kekal bersama Al Ittihad selepas Jun dan sebaliknya menyertai pendahulu liga, Al Hilal yang menawarkannya kontrak.
Bercakap buat kali pertama sejak perpindahan itu, bekas kapten Real Madrid dan pemenang Ballon d’Or 2022 tersebut memberitahu laman web kelab:
“Rasa sangat baik. Saya gembira berada di sini. Selepas latihan pertama saya bersama pasukan dan jurulatih, saya sangat gembira dan bangga menjadi sebahagian daripada pasukan ini.
“Ia pasukan yang bagus, dengan sejarah yang hebat. Mereka telah memenangi banyak trofi.
“Ia hampir sama seperti Real Madrid di Asia. Semuanya bagus, penyokongnya bagus, mereka bermain dengan baik, ada pemain-pemain berkualiti dan mentaliti yang kuat.”
Karim Benzema dah lama minat Al Hilal
Benzema kemudian mendedahkan bahawa dia sudah lama meminati Al Hilal terutama sekali sejak dia kenal lebih dekat pasukan itu ketika bermain di Saudi.
Menentang Al Hilal sebelum ini adalah pengalaman yang indah untuk Benzema. Dan kini dia lebih gembira kerana bermain untuk Al Hilal.
Benzema berkata: “Saya sudah meminati dan menyukai pasukan ini sebelum ini. Saya pernah menentang mereka bersama Madrid dan ia bukan perlawanan yang mudah.
🗣 Karim Benzema:
"I liked Al Hilal from before, because I used to play against them with Real Madrid, and it wasn't an easy game (laughs), It was a good game. I have good memories, and today I'm happy because I'm a player of Al Hilal."
— The Nassr Tribune™️ (@AlNassrTribune) February 3, 2026
“Ia perlawanan yang bagus dan saya ada kenangan indah. Hari ini saya gembira kerana saya kini pemain Al Hilal.”
Menurut sumber, Benzema, 38, berasa tidak dihormati dengan tawaran lanjutan kontrak yang diberikan Al Ittihad.
Kontrak yang ditawarkan melalui Liga Pro Saudi — yang mengurus kontrak pemain utama kelab milik PIF (Dana Pelaburan Awam Arab Saudi) — menawarkan kontrak tanpa gaji pokok.
Dia cuma ditawarkan pendapatan menerusi bonus dan kawalan hak imej yang bernilai A$108 juta.
Benzema, yang turut menerima tawaran daripada kelab Eropah, memilih untuk kekal di Arab Saudi, sebahagiannya kerana perjanjian hak imejnya di sana berlangsung sehingga 2030.
Perpindahannya ke Al Hilal, yang diatur oleh PIF, dilaporkan menimbulkan kemarahan bekas rakan sepasukannya di Madrid, Cristiano Ronaldo, yang kini menjadi kapten seteru Al Nassr.
Menurut sumber, Ronaldo enggan bermain untuk kelabnya pada aksi sebelum ini, sebagai tanda protes kerana PIF tidak melabur secukupnya dalam Al Nassr dan sebaliknya memberi kelebihan kepada Al Hilal.
Ronaldo sedang memburu kejuaraan utama pertamanya bersama Al Nassr dan pasukannya kini berada di tempat kedua Liga Pro Saudi, satu mata di belakang Al Hilal.
Benzema, yang memainkan peranan penting membantu Al Ittihad memenangi liga dan Piala Raja musim lalu, berkata dia masih ‘lapar’ untuk menambah koleksi trofi.
“Ini mesej yang jelas,” katanya. “Anda tahu mentaliti saya. Saya sangat bercita-cita tinggi. Saya akan bekerja keras, saya akan beri segala-galanya di atas padang. Saya akan membantu pasukan ini dan, insya-Allah, memenangi trofi. Bagi saya, lebih penting untuk membawa trofi. Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita ada pasukan yang bagus, penyokong yang hebat dan bersama-sama, insya-Allah, kita akan lakukannya.”
Benzema tiba di Arab Saudi pada musim panas 2023 selepas memenangi 25 trofi bersama Madrid, termasuk empat gelaran LaLiga, tiga Copa del Rey dan lima Liga Juara-Juara.
Setakat musim ini, dia telah menjaringkan lapan gol dalam 14 perlawanan liga.