Warga selatan tanah air kini boleh bersiap sedia merasai kehangatan acara padang paling ikonik di Malaysia apabila Karnival Jom Heboh (KJH) 2026 kembali menggegarkan Johor Bahru.

Bertempat di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall, acara mega ini dijadualkan berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula 30 Oktober hingga 1 November 2026, dari hari Jumaat hingga Ahad.

Karnival Jom Heboh 2026 Kembali Gegarkan Johor Bahru, Ini Pengisian Menarik Yang Menanti Anda

Penganjuran ini menjanjikan hujung minggu yang padat dengan hiburan, tawaran istimewa dan pelbagai aktiviti mesra keluarga yang meraikan kebersamaan komuniti setempat.

Pengiktirafan 23 Tahun Menyatukan Komuniti

Memasuki tahun penganjuran yang ke-23, KJH terus membuktikan pengaruhnya apabila diiktiraf secara rasmi sebagai karnival luar bangunan paling lama bertahan atau Longest Running Outdoor Carnival oleh The Malaysia Book of Records.

Berkonsepkan kekeluargaan dan kemasyarakatan, jenama acara padang ini kekal relevan merentas generasi dengan rekod purata kehadiran melebihi 300,000 orang pengunjung bagi setiap lokasi penganjuran.

Bagi kebanyakan pengunjung, KJH bukan sekadar tapak pesta riadah, tetapi tempat meluangkan masa berkualiti dan mencipta memori bersama orang tersayang.

“Hujung minggu ni kita nak ke mana? Jom singgah Padang B Angsana Mall, dengar khabar banyak aktiviti menarik, artis popular dan makanan viral yang berkumpul sekali di sana,” begitulah antara perbualan santai yang lazim kedengaran dalam kalangan ahli keluarga mahupun rakan sebaya apabila tarikh karnival semakin hampir.

Pelbagai Pengisian Riadah dan Kemuncak Konsert Jom Heboh

Sepanjang tiga hari penganjuran berlangsung, pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti interaktif dan pertandingan pentas.

Karnival Jom Heboh 2026 Kembali Gegarkan Johor Bahru, Ini Pengisian Menarik Yang Menanti Anda

Antara tarikan yang disusun rapi merangkumi Pertandingan Karaoke Drama Sangat, Buletin Challenge, Kids Colouring Contest khas untuk kanak-kanak, serta persembahan Jom Lokal Jam.

Karnival Jom Heboh 2026 Kembali Gegarkan Johor Bahru, Ini Pengisian Menarik Yang Menanti Anda

Peminat televisyen tempatan juga berpeluang bersemuka secara langsung dengan selebriti kegemaran menerusi sesi Meet and Greet bersama barisan pelakon drama TV3 dan personaliti TV9.

Selain hiburan, aspek kesejahteraan komuniti turut diberi penekanan menerusi penyediaan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan pemeriksaan gigi secara percuma untuk orang awam.

Pengunjung yang ingin kekal cergas boleh menyertai sesi senaman Zumba beramai-ramai sebelum menutup hari dengan kemuncak yang paling dinantikan, iaitu Konsert Jom Heboh yang bakal menggegarkan pentas utama pada malam Sabtu dan Ahad.

Syurga Beli-Belah Dengan Lebih 150 Reruai Pilihan

Kemeriahan di tapak karnival dilipatgandakan dengan kehadiran lebih daripada 150 reruai selain reruai di bawah naungan Media Prima. Pelbagai promosi hebat, jualan istimewa dan hadiah menarik ditawarkan oleh jenama-jenama terkemuka seperti Mi Sedaap, FGV, BABA’S, AFFIN Bank, CELCOMDIGI serta banyak lagi produk terkenal pasaran.

Pengunjung seisi keluarga juga boleh menikmati pengalaman kulinari moden dengan mencuba pelbagai hidangan dan makanan viral yang menjadi kegemaran ramai.

Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik Bersama KWSP

Selepas meraih sambutan hangat pada siri jelajah di Kota Samarahan dan Miri, program Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik bersama KWSP kini dibawakan khas ke Johor Bahru. Larian santai ini menawarkan pengalaman riadah yang sihat sambil diserikan dengan kehadiran artis drama, personaliti Media Prima dan selebriti jemputan.

Pada tahun ini, larian dibahagikan kepada dua pilihan jarak iaitu 5KM dan 8KM. Untuk menggalakkan penyertaan seisi keluarga, penganjur memperkenalkan Pakej Keluarga eksklusif bagi kategori 5KM yang menawarkan kadar pendaftaran istimewa untuk penyertaan empat orang peserta dalam satu pendaftaran.

Karnival Jom Heboh 2026 Kembali Gegarkan Johor Bahru, Ini Pengisian Menarik Yang Menanti Anda

Setiap peserta yang mendaftar bakal membawa pulang medal finisher eksklusif, jersi rasmi, tote bag, bib larian serta beg cenderahati. Lebih menarik, sebanyak 50 hadiah cabutan bertuah menanti para peserta yang menyertai acara larian tersebut.

Rancang Kunjungan Anda Hujung Minggu Ini

Gabungan antara pengisian hiburan, gaya hidup cergas dan perkhidmatan rakyat menjadikan KJH edisi Johor Bahru 2026 sebuah destinasi hujung minggu yang lengkap untuk semua golongan masyarakat.

Pengunjung digalakkan menggunakan tanda pagar rasmi #KJH, #KarnivalJomHeboh dan #KJHJohor untuk berkongsi gambar serta rakaman video sepanjang karnival berlangsung.

Segala maklumat lanjut mengenai susunan aktiviti dan jadual acara boleh disemak melalui laman sesawang https://www.jomheboh.com.my atau menerusi platform media sosial Facebook dan Instagram rasmi di @jomhebohofficial.