Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah mematahkan cubaan lori kontena tertera logo ZIM, syarikat perkapalan berpangkalan di Israel memasuki negara ini melalui laluan darat di Perlis.
Memetik laporan Berita Harian, lori kontena terbabit membawa muatan dagangan ayam sejuk beku yang baru tiba dari sempadan Malaysia-Thailand itu diarah berpatah balik dengan segera.
Baca Juga:
- Dua Pegawai Kanan Polis Didakwa Terima RM1.25 Juta Tutup Kes Beli Senjata Api Warga Israel
- Lima Negara Berusaha Keras Pastikan FIFA Gantung Israel
- Rakyat Indonesia Bengang Warga Israel Campak, Pijak Indomie
Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, perkara itu dikesan kira-kira jam 12 tengah hari Ahad lalu.
Lori kontena terbabit melalui terowong mesin pengimbas di Unit Dagangan Jalan Raya, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs).
“Semasa proses imbasan imej, pengendali mesin pengimbas mengesan kontena digunakan berasal dari Israel berdasarkan logo ZIM yang tertera pada badan dinding luar kontena itu.
“Oleh itu, lori terbabit ditahan bagi mendapat pengesahan dan pemeriksaan lanjut,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, hasil semakan bersama pihak agensi kerajaan lain telah mengesahkan kontena itu dilarang memasuki Malaysia kerana dipercayai milik syarikat berpangkalan dari Israel.
“Kita segera mengarahkan lori kontena berisi barang dagangan berkenaan berpatah balik ke negara jiran pada hari sama,” katanya.
Sementara itu, memetik laporan itu lagi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan siasatan segera dilakukan mengenai dakwaan kewujudan kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM, di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri di Johor.