Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak dilaporkan menyita sebuah kenderaan import klasik di Miri.

Model kereta Ford Mustang Shelby GT500 itu disyaki tidak berkastam dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan lebih RM2.37 juta.

Baca Juga:

Memetik TV Sarawak, pemeriksaan dilakukan pada 7 Oktober lalu sekitar jam 3.15 petang oleh sepasukan pegawai dari Unit Operasi Darat, Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Miri, hasil maklumat Zon Risiko Sarawak.

“Pasukan pemeriksa menemui sebuah kenderaan ditutup dengan kanvas berwarna kelabu di belakang premis perniagaan kosong di Sungai Tujuh, Kuala Baram, Miri.

“Hasil pemeriksaan mendapati ia sebuah Ford Mustang model Shelby GT500 tanpa nombor pendaftaran sah dan disyaki tidak berkastam,” kata Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Norizan Yahya.

Menurut beliau, nilai kenderaan dianggarkan RM679,339.50. Sementara jumlah duti import dan cukai terlibat sebanyak RM1,700,048.25.

Jumlah keseluruhan sitaan bernilai RM2,379,387.75.

Norizam berkata, pengimportan kenderaan klasik tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang memerlukan Permit Import (AP) daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau larangan import.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda 10 hingga 20 kali amaun duti kastam atau antara RM100,000 hingga RM500,000 atau dipenjara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat kastam berhampiran

Sumber