Thailand sudah menjadi ‘port’ wajib buat para pasangan dari Malaysia yang mahu mendapatkan ikatan sah tanpa restu keluarga masing-masing.
Memetik Bernama, dilaporkan jumlah rakyat Malaysia yang bernikah di Selatan Thailand semakin berkurangan susulan pihak berkuasa mengetatkan kawalan sempadan dengan menutup pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok sejak awal Disember lepas.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat Abdul Aziz Che Mamat mendedahkan sejak kawalan diperketat, jumlah pasangan dari Malaysia untuk bernikah turun mendadak daripada empat ke lima pasangan sehari kepada satu atau dua pasangan sahaja.
Tambahnya, dianggarkan sebanyak 50 pasangan dari negara ini datang bernikah di selatan Thailand. Malah, didapati pada masa ini jumlahnya semakin berkurangan mencecah 40%.
“Walaupun mereka boleh menggunakan laluan sah di Jambatan Muhibbah dengan dokumen pasport yang lengkap, ramai masih memilih pangkalan haram untuk ke Thailand,” katanya lagi.
Menurut beliau lagi, walaupun syarat pasport diwajibkan, ada pasangan tidak mematuhinya dan sanggup berdepan tindakan undang-undang daripada Majlis Agama Islam negeri masing-masing.
Pada tahun lepas sahaja, Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat telah menikahkan kira-kira 600 pasangan dengan lebih 300 daripadanya adalah rakyat Malaysia terutama dari Kelantan dan Terengganu.
Laporan pada tahun lalu mendedahkan beratus-ratus pasangan Malaysia termasuk mereka yang mahu berkahwin secara poligami, melakukan majlis pernikahan di lima lokasi berbeza di Songkhla dalam tempoh sebulan.