Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengecam tindakan seorang individu tempatan yang menyertai pertandingan ratu cantik transgender di Bangkok, Thailand pada 30 Ogos lalu.
Dalam satu kenyataan, pihak JPM (HEA) menegaskan penyertaan tersebut mencemarkan imej negara, selain bertentangan dengan ajaran Islam, norma budaya, serta nilai kesopanan rakyat Malaysia.
Menurut kenyataan itu lagi, perbuatan menyerupai jantina berlawanan (tasyabbuh) dan mempromosikan gaya hidup transgender adalah haram mengikut hukum Syarak serta menyalahi undang-undang Syariah negeri.
Kenyataan Media
JPM (HAL EHWAL AGAMA) KECAM PENYERTAAN DALAM PERTANDINGAN RATU CANTIK TRANSGENDER DI THAILAND
1. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang individu yang menyertai pertandingan ratu cantik transgender yang berlangsung… pic.twitter.com/J5nQ4Iz2ge
— YB Senator Dr. Zulkifli Hasan (@DrZulkifliHasan) September 1, 2026
“Pihak JPM (HEA) menegaskan bahawa perbuatan menyerupai jantina berlawanan (tasyabbuh) serta mempromosikan gaya hidup transgender adalah haram di sisi hukum Syarak dan dilarang di bawah perundangan Syariah di negeri-negeri.
“Penganjuran atau penyertaan dalam acara sedemikian tidak pernah mendapat sebarang sokongan, kebenaran, atau pengiktirafan daripada pihak berkuasa agama mahupun Kerajaan Malaysia,” tegas beliau.
JPM (HEA) turut menyeru masyarakat agar tidak mempopularkan perkara yang melanggar syariat, sebaliknya bersama-sama memelihara moral dan akidah ummah.
Pihak berkuasa agama kini sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk meneliti tindakan undang-undang yang sewajarnya.