Beberapa hari lalu telah dilaporkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya menerima pengurangan hukuman penjara dan denda di mana beliau bakal dibebaskan menjelang Ogos 2028 dan dikenakan denda sebanyak RM50 juta.

Meskipun telah menerima pengurangan, Nooryana Najwa Najib selaku anak kepada Najib Razak mendedahkan melihat bapanya memegang kertas keputusan Lembaga Pengampunan dengan riak wajah yang sangat mengecewakan.

“Yana tanya, ‘apa perasaan Daddy’, Daddy jawab, ‘kecewa, sangat-sangat kecewa. Tahu tak perasaan dimana kita dalam terkejut dan tiada siapa yang boleh bercakap dengan kita. Hilang dalam pemikiran sendiri, secara bersendirian’.

“Yana lihat matanya agak letih. Mungkin Daddy tak cukup tidur, merenung keputusan yang diumumkan semalam kerana kemungkinan beliau akan dikurung selama, empat, lima tahun lagi.

“Lima hari DSN (Datuk Seri Najib) menunggu dengan penuh harapan. Semua di sekeliling Daddy memberi kata-kata semangat ‘Insya-Allah Datuk, sikit masa saja lagi’,” tulisnya.

Tambah Nooryana, Najib juga bercadang untuk menziarahi kubur Allahyarham ibu bapanya setelah diberikan kebebasan namun kini tidak kesampaian dan terpaksa menanamkan hasratnya itu.

Katanya, pada hari sebelum Najib ke mahkamah juga, semua pengawal penjara menganggap itu adalah kali terakhir mereka bertemu dengan bekas Presiden UMNO itu kerana menganggap beliau akan diberikan pengampunan penuh.

Dalam pada itu, Nooryana berkata, satu petisyen pengampunan diwujudkan bagi mendapatkan keadilan sewajarnya untuk Najib bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.

Katanya, sebelum pulang, Najib juga sempat berpesan kepadanya untuk terus kekal positif dan yakin bahawa suatu hari mereka sekeluarga akan bersama kembali.

“Dia dihukum kerana memberikan duit kepada kebajikan. Dia dihukum kerana perlukan lebih masa untuk buktikan dirinya tidak bersalah. Dia dihukum kerana darahnya UMNO dan tidak akan berundur untuk parti itu. Dia dihukum kerana dia Bossku, kerana dia Najib Razak.

Najib yang sedang menjalani hukuman penjara ketika ini akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Perkara itu dimaklumkan Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-16 dalam satu kenyataan, kelmarin.

Menurut kenyataan itu, sebanyak lima kertas pengampunan termasuk permohonan Najib dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang Di Pertuan Agong ke-16, AI-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sumber