Suasana di sekitar perkampungan Pasar Bisik, Kuala Muda di sini kembali tenang dan lengang berikutan tindakan pihak berkuasa memindahkan ratusan etnik Rohingya yang menetap di perkampungan berkenaan, malam semalam.

Kesemua mereka dipindahkan menggunakan tiga buah bas dengan kawalan ketat pihak polis sebelum dibawa ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Kecoh Babak Menangis Dan Cubaan Lari: Ini Sebab Ratusan Rohingya Di Pasar Bisik Dipindahkan
Sumber Gambar: Harian Metro

Tinjauan di kawasan penempatan itu mendapati beberapa unit rumah sewa yang sebelum ini padat dengan penghuni kini kosong sepenuhnya, sekali gus mengubah suasana perkampungan menjadi sunyi sepi.

Detik Cemas Semasa Operasi Pemindahan

Walaupun proses pemindahan berjalan lancar dengan kawalan pihak polis, operasi berkenaan turut diwarnai detik cemas apabila ada dalam kalangan etnik tersebut cuba melarikan diri kerana enggan meninggalkan kawasan berkenaan.

Pekerja kedai makan tempatan, Nazar Mat Akhir, 45, mendedahkan suasana ketika operasi berlangsung agak emosi bagi komuniti berkenaan.

“Ramai yang tak mahu keluar dari sini dan teriak (menangis), malah ada yang cuba nak lari, tetapi polis berjaya mengawal keadaan dengan baik.

“Memang lega sangat bilamana puak ini keluar. Jika tidak dikawal, kita tak tahu apa akan jadi kerana jumlah mereka sudah terlalu ramai.

“Dulu datang sikit-sikit sahaja, tetapi lama-kelamaan mula membawa saudara-mara, kawan-kawan, dan beranak-pinak di sini,” katanya kepada pemberita Harian Metro.

Kebimbangan Isu Keselamatan dan Persaingan Ekonomi

Meskipun kehadiran etnik itu tidak mencetuskan sebarang pergaduhan atau kegawatan fizikal secara terus, bilangan mereka yang terlalu ramai tetap menimbulkan keresahan dalam kalangan warga tempatan, khususnya dari segi punca rezeki.

Seorang penduduk, Zarul Hisham Kamaruddin, 40-an, menjelaskan bahawa isu berkaitan Rohingya kini menjadi topik sensitif yang sukar dikompromi oleh masyarakat setempat.

“Macam dekat sini, mereka memang tidak buat kacau. Namun, penduduk tetap rasa terganggu terutamanya dari segi aktiviti ekonomi.

“Kebanyakan penduduk di sini turun ke laut sebagai nelayan, jadi kehadiran mereka secara tidak langsung menjadi persaingan kepada penduduk tempatan yang mencari makan,” jelas beliau.

Pertumbuhan Mendadak Pasca Tsunami

Kemasukan etnik berkenaan ke perkampungan itu difahamkan bermula secara berperingkat selepas tragedi tsunami bertahun lalu. Bagaimanapun, bilangannya melonjak secara mendadak sejak dua tahun kebelakangan ini.

Berdasarkan maklumat tempatan, jumlah rumah yang disewa oleh komuniti itu bertambah daripada 32 buah rumah kepada 47 buah rumah dalam tempoh dua tahun sahaja. Lebih membimbangkan, setiap rumah sewa berkenaan secara purata dihuni oleh empat hingga lima keluarga secara serentak.

Desakan Tindakan Terhadap Pemilik Rumah Sewa

Susulan kejadian ini, penduduk tempatan turut menggesa pihak Pejabat Daerah dan Tanah (DO) agar mengambil tindakan tegas dan menjalankan pemantauan berterusan terhadap pemilik rumah yang menyewakan premis mereka kepada warga asing.

Seorang penduduk yang enggan dikenali memberitahu bahawa struktur rumah yang kosong menjadi punca utama penempatan itu berkembang.

“Kebanyakan rumah di sini dibiarkan kosong selepas tragedi tsunami kerana ramai penduduk telah berpindah ke penempatan baharu yang disediakan kerajaan tidak jauh dari sini.

“Bagaimanapun, ada pemilik yang tidak mahu rumah mereka nampak terbengkalai sanggup menyewakannya kepada etnik Rohingya. Perkara seperti ini perlu diteliti dan ditangani secara serius oleh pihak DO,” tegasnya.

Kini, warga Pasar Bisik Kuala Muda berharap ketenangan yang kembali dinikmati ini dapat dikekalkan, sambil menggesa pemantauan berterusan daripada pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan dan keharmonian kawasan persekitaran.