Baru-baru ini, isu gaji CEO atau Ketua Eksekutif tertinggi di tiga agensi bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menjadi bualan hangat.
Dalam laporan MalaysiaKini, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, tampil memberi penjelasan di Dewan Rakyat berkenaan dakwaan gaji CEO HRD Corp, Perkeso, dan TalentCorp yang dikatakan mencecah RM90,000 hingga RM120,000 sebulan.
Dalam sesi perbahasan titah diraja berkaitan Kesuma hari ini, Sim menegaskan bahawa penetapan gaji eksekutif tersebut telah dibuat sebelum beliau menyertai kementerian pada pertengahan Disember 2023.
Beliau berjanji akan memberikan pecahan terperinci gaji berkenaan untuk pengetahuan awam.
“Semua pihak perlu berlaku adil. Saya minta pegawai Kesuma sediakan pecahan gaji ini supaya maklumat yang betul dapat disampaikan, bukan sekadar dengar-dengar,” kata Sim.
Isu Gaji CEO Cecah Puluhan Ribu
Isu ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, yang mempersoalkan kewajaran gaji tinggi eksekutif agensi kerajaan ketika Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sanggup berkhidmat tanpa mengambil gaji.
Rayer meminta pengesahan sama ada benar gaji CEO HRD Corp, Perkeso, dan TalentCorp mencecah RM90,000 hingga RM120,000 sebulan.
“Adakah ini benar? Ini telah menjadi bahan bualan di luar sana,” soal Rayer.
Kerajaan Perlu Tawarkan Pakej Menarik
Dalam responnya, Sim menjelaskan bahawa kerajaan perlu menawarkan pakej yang kompetitif untuk menarik bakat berkualiti tinggi.
Beliau menekankan pentingnya berlaku adil kepada semua pihak, termasuk pegawai yang berkhidmat di agensi-agensi kerajaan.
“Saya faham kebimbangan rakyat, tetapi kita juga perlu lihat dari perspektif yang lebih luas. Untuk menarik bakat terbaik, kita perlu menawarkan pakej yang menarik,” tambah Sim.
Pecahan Gaji Akan Didedahkan
Sim berjanji akan menyediakan pecahan gaji eksekutif tertinggi tersebut dan memberikannya kepada Rayer untuk memastikan maklumat yang tepat disampaikan kepada orang ramai.
Langkah ini diharap dapat mengurangkan spekulasi dan memberikan kejelasan kepada rakyat.
Isu gaji tinggi CEO agensi kerajaan ini mencetuskan perdebatan hangat, terutamanya dalam konteks kesederhanaan yang ditunjukkan oleh pemimpin tertinggi negara.
Dengan janji Menteri Sumber Manusia untuk mendedahkan pecahan gaji, rakyat kini menanti penjelasan terperinci bagi mengurangkan rasa tidak puas hati dan spekulasi yang berlegar.