Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor menegaskan kelabnya sudi menerima Rob Friend sekiranya khidmatnya sudah tidak diperlukan.
Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melantik Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya.
Baca Juga:
- Rob Friend Dilantik Sebagai CEO Harimau Malaya
- ‘Ada Yang Tak Tahu Malaysia Dekat Mana’ – Tunku Mahkota Ismail
- Ini Pendapat Tunku Mahkota Ismail Mengenai Aksi JDT Menentang Buriram United
Pelantikan bekas pemain skuad kebangsaan Kanada itu disifatkan sebagai keputusan terbaik oleh Tunku Mahkota Ismail yang merupakan individu bertanggungjawab mencetus revolusi dan menstruktur semula skuad Harimau Malaya.
“Keputusan terbaik untuk melantik
seorang jutawan, berkelayakan tinggi dengan pengetahuan bolasepak yang cukup bagus. Friend mempunyai rangkaian luas dalam dunia bola sepak dan cintakan sukan.
“Dengan kelayakan ini jika satu hari Malaysia tidak mahukan dia, JDT akan
menerimanya dengan tangan yang terbuka,” kata Tunku Ismail.
Sebagai rekod, Rob Friend merupakan seorang bekas pemain yang beraksi di posisi penyerang dengan antara kelab yang pernah diwakilinya ialah kelab Norway, Moss FC dan Molde FK; kelab Jerman, Borussia Monchengladbach, Hertha Berlin, Eintracht Frankfurt dan 1860 Munich serta kelab Amerika Syarikat, LA Galaxy pada 2014.
Dalam pasukan kebangsaan Kanada pula, beliau telah melakukan sebanyak 32 penampilan antarabangsa bermula dari 2003 ketika berusia 22 tahun sehingga 2011 ketika beliau berusia 30 tahun.
Dari 2017 hingga 2021, beliau menjadi pengasas Toca Football Canada, teknologi latihan khusus bola sepak dan keluar dengan penuh berjaya apabila peningkatan modal syarikat berkenaan mencecah AS$150 juta.
Bermula 2019 hingga sekarang, Rob Friend merupakan rakan kongsi pengurusan di SixFive Sports Fund, badan pelaburan dalam bola sepak profesional dan infrastruktur melalui pemilikan kelab, stadium dan pembangunan kemudahan latihan.
Antara penglibatan terbesar beliau ialah menjadi salah seorang pengasas bersama liga bola sepak profesional Kanada, Canadian Premier League (CPL) dan berjaya meningkatkan nilai liga tersebut dari AS$0 sehingga AS$300 juta dalam tempoh enam tahun.
Rob Friend juga pernah menerajui kepimpinan tertinggi pengurusan dan pentadbiran dua kelab yang beraksi di CPL iaitu sebagai CEO dan pengasas bersama Pacific FC dari 2019 hingga 2022 serta sebagai Presiden dan pengasas bersama Vancouver FC dari 2022 hingga kini.